T'ganu akan anjur kursus kesedaran untuk golongan mak nyah

   

Kerajaan negeri Terengganu akan mengadakan kursus kesedaran kepada golongan 'mak nyah’ di seluruh negeri ini setelah jumlah sebenar mereka yang terjerumus ke dalam gejala itu diperoleh.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata perangkaan berkenaan dijangka diperoleh setelah bancian secara menyeluruh dilakukan bermula Januari nanti.

"Kita akan jalankan bancian pada minggu ketiga Januari di mana kita tidak akan bersandarkan jumlah 17 orang yang sedia ada di Flat Petani, Kuala Terengganu (ketika ini).

"Kita akan bekerjasama dengan ketua komuniti, seperti Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), agensi-agensi seperti polis, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) dan lain-lain lagi mengenal pasti golongan mereka ini tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di majlis penyerahan bantuan Jom Ke Sekolah anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, di Hulu Terengganu semalam.

Turut hadir Presiden GPMS Terengganu, Tengku Haphiz Datuk Tengku Putera, dan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail.

Sejumlah 150 orang murid sekolah rendah DUN berkenaan menerima bantuan satu set kelengkapan persekolahan bernilai RM200 daripada peruntukan sumbangan Yayasan Taqwa berjumlah RM30,000.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil itu berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai isu golongan mak nyah yang didapati menjadikan kawasan Flat Petani, di pinggir bandar Kuala Terengganu sebagai sarang maksiat dan pelacuran

Katanya, kursus kesedaran dijangka diadakan selama tiga hari dua malam itu akan memfokuskan bagaimana membantu mereka untuk kembali kepada kehidupan yang sebenar.

"Saya tahu memang agak sukar tapi kita akan mencuba sebaik mungkin. Setelah itu kita akan jalankan kajian untuk melihat kecenderungan dan minat mereka sama ada jahitan, gubahan, memasak atau hiasan.

Jika mereka berminat, bantuan akan disalurkan MAIDAM jika mereka ini daripada golongan layak dan miskin. Jika yang tidak layak mendapat zakat, kita akan cuba salurkan bantuan dadipada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) untuk membantu mereka ini membina hidup baru," katanya.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.