Paling Popular
Terkini

Kementerian Kewangan tidak akan terhutang budi kepada kerajaan China apabila membuat keputusan terhadap mengenai mana-mana projek pembangunan masa depan di Malaysia, kata Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurut Menteri Kewangan Kedua itu pihaknya tidak terhutang budi kepada sesiapa saja atas keputusan yang diambil.

Sebelum itu Johari ditanya sama ada Kementerian Kewangan terhutang budi kepada Beijing ekoran keputusan firma dari negara itu membantu syarikat 1MDB menyelesaikan hutangnya kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Berita mengenainya disiarkan akhbar Singapura, Straits Times, semalam.

Menurut akhbar itu pelupusan aset 1MDB kepada syarikat China terbabit membantu mereka mengumpul dana untuk membayar hutang AS$602.7 juta kepada IPIC - sebuah syarikat pelaburan berpangkalan di Abu Dhabi - menjelang akhir tahun ini.

Laporan yang memetik sumber tidak dinamakan itu menyatakan 1MDB menjual instrumen kewangan dan kepentingan dua entiti berkaitan 1MDB yang memegang tanah di utara Pulau Pinang dan sekitar Pelabuhan Klang.

"Para pegawai kerajaan Malaysia menolak untuk menamakan pembeli dalam urus niaga hartanah itu tetapi seorang eksekutif kewangan yang rapat dengan isu itu berkata kepentingan ekuiti dalam entiti hartanah 1MDB akhirnya diperolehi oleh syarikat milik China," kata laporan berkenaan.

Sebagai rekod, 1MDB ialah syarikat pelaburan milik penuh Kementerian Kewangan.

"Tidak, kami tidak terhutang budi kepada sesiapa," kata Johari selepas menghadiri program Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun Johari menegaskan beliau tidak tahu-menahu mengenai transaksi didakwa Straits Times berkenaan.

"Saya tidak tahu mengenai hal ini. Kamu perlu tanya kepada Irwan.

"Sebagai pengerusi 1MDB, dia sepatutnya boleh memberikan jawaban," katanya merujuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS