Johari: Pemaju perlu semak sebelum bina projek
Pemaju perlu menyemak dengan kerajaan sebelum membuat keputusan untuk membina projek mereka bagi mengelakkan lebihan penawaran hartanah mewah di lokasi tertentu, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
"Sebenarnya adalah menjadi kebaikan kepada pemaju hartanah untuk dapat maklumat lebih lanjut di mana oversupply tersebut dalam seluruh negara terutamanya property jenis studio atau service apartment," katanya.
Maklumat mengenai lebihan penawaran hartanah boleh diperoleh menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, katanya.
Menurutnya, terdapat 130,000 unit lebihan hartanah di seluruh negara pada suku pertama 2017.
Bulan lalu kerajaan persekutuan dilapor mengeluarkan moratorium terhadap beberapa jenis pembangunan hartanah mewah di Kuala Lumpur.
DBKL diarah berhenti mempertimbang atau meluluskan projek pembangunan kompleks beli-belah, pejabat, pangsapuri dan kondominium mewah berharga RM1 juta ke atas di ibu kota berkuatkuasa 1 November.
Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) dilapor memberi amaran mengenai lebih banyak pembangunan hartanah terbengkalai jika kerajaan dan pemaju tidak membekukan pembangunan hartanah mewah dengan serius.
Terdahulu hari ini, Johari melancarkan versi baru laman web e-perolehan yang akan bermula pada 1 Januari 2018, bagi menggantikan laman web sedia ada yang telah digunakan sejak tahun 2000.
Johari berkata versi baru laman web e-perolehan itu akan dapat memantau dan mengawal peruntukan kerajaan secara lebih cekap.

