Paling Popular
Terkini

“Around the world in 80 days”, sebuah novel hasil karya Jules Vern mengesahkan pengembaraan seorang warga Inggeris Phileas Fogg yang semata-mata mahu memenangi wang pertaruhan jika berjaya mengelilingi dunia dalam 80 hari.

Oleh itu, beliau dan pembantunya Jean Passepartout menggunakan pelbagai kaedah, belon udara, kapal, kereta api dan kenderaan darat lain termasuk menaiki gajah sebelum berjaya kembali ke kota London sehari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.

Walaupun ia hanya fiksyen sains, namun pengembaraan seumpama itu tidak mustahil jika diusahakan.

Dan begitulah juga gelagat sekumpulan warga Malaysia yang mengorak langkah melakukan pengembaraan yang belum pernah dilakukan warga Malaysia dengan menaiki pacuan empat roda, bukan mengelilingi dunia tetapi ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji Julai lepas.

Mungkin ramai yang merasa musykil atas usaha mereka itu, namun seperti Fogg dan Passepartout, pengembara Malaysia itu mahu membuktikan yang ia boleh dilakukan dalam waktu terhad dengan dua buah kenderaan pacuan empat roda.

Perancangan sejak akhir 2016

Bertemakan Kembara Inspirasi Haji (KIH), pengembaraan lapan peserta ini termasuk seorang wartawan dan jurukamera Bernama, dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Kembara Amal (PEKA) yang terlibat dalam banyak kerja-kerja amal.

Lapan pengembara itu ialah ketua rombongan, Khir Ariffin, 43, seorang mekanik yang juga tukang masak, Muhammad Shahuri Zainuddin, 51, Zikri Fuad Abdul Salam, 43, Mohd izam Mahd Nor, 35, sepasang suami isteri, Jasmi Jantan, 46 dan Zuraini Abdul Malek, 36 satu-satunya pengembara wanita, jurukamera Ahmad Shahuri Mat Jaan dan wartawan Abdul Rahman Ahmad ,

Perancangan pengembaraan ini dibuat sejak Disember 2016 selepas beberapa ahli PEKA melakukan pengembaraan darat ke selatan China dan pengembaraan di benua Eropah sebelum ini.

Sasaran perjalanan ke Tanah Suci keseluruhanya ialah 16,000km dan kumpulan ini perlu ada di Arab Saudi sehari sebelum Hari Wukuf di padang Arafah.

Dan awal-awal lagi sebelum perjalanan pada 18 Julai, Khir secara terus terang menidakkan anggapan kononnya pengembaraan itu semata-mata mahu mencari alternatif ke tanah suci untuk menunaikan ibadah haji yang kini mengamalkan pengangkutan udara.

“Tolong jangan salah anggap. Kita lakukan ini bukan untuk mencari cara lain ke tanah suci untuk menunaikan haji. Kita mahu menjejaki kehadiran Islam yang dikatakan telah bertapak begitu lama di empat wilayah di bahagian barat China.

“Selain itu, kita mahu membuat kerja amal menghulur sumbangan kepada mereka yang memerlukan selain menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah SWT,” kata Khir.

Setiap peserta telah menyiapkan diri sepenuhnya dari segi fizikal dan mental kerana pengembaraan merentasi 10 negara ini memerlukan kekuatan kerana banyak menghabiskan masa dalam kenderaan.

Dan perjalanan mereka amat memenatkan kerana terpaksa mengejar masa untuk sampai ke tempat-tempat yang telah ditentukan bagi memastikan mereka sempat berwukuf di padang Arafah.

Pengembaraan kumpulan ini bermula dari Masjid Wilayah Persekutuan, Malaysia disusuli Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Dua kenderaan 4WD patah balik

​​​​Kumpulan ini memulakan pengembaraan dengan empat kenderaan 4WD tetapi dua daripadanya terpaksa berpatah balik kerana penarikan diri pihak penaja mengakibatkan mereka kekurangan dana untuk meneruskan perjalanan bagi empat buah kereta dengan 16 peserta.

Walaupun rasa kecewa kerana terpaksa meninggalkan rakan lain, pengembaraan diteruskan dengan dua kenderaan 4WD bersama-sama lapan peserta termasuk dua petugas Bernama

Namun setiap tempat yang disinggahi mempunyai penceritaan yang manis untuk dikenang selain saat getir dan cemas terutama apabila ditahan dan dibawa ke balai polis ketika di China.

Dan kebanyakan bandar atau bandaraya mereka singgap, mereka membuat kunjungan ke atas duta-duta Malaysia seperti di Tashken, Uzbekistan, Ashgabat di Turkmenistan, Tehran (Iran), serta konsulat Malaysia di Kumning dan Dubai.

Hampir 30 bandaraya dan bandar dilewati seperti Hat Yai, Songkha dan Bangkok di Thailand,Mengla, Shadian, Kunming, Dali, Wudu,Lingshan, Guangyuan, Langzhou, Jiuguan, Kumul, Urumqi,Bayingul, Aksudan Kashgar di China, bandar Osh di Kyrgyzstan,Tasktentdan Samarkand di Uzbekistan, Ashgabat di Turkmenistan, Tehran, Yazd dan bandar Abas di Iran dan Sarjah dan Dubai di UAE.

Persiapan dibuat dari awal

Semua persiapan seperti mendapatkan visa dari negara-negara yang disinggahi awal-awal lagi sudah diperoleh dan tersedia bersama-sama pasport masing-masing.

Setiap hari sebelum menyambung perjalanan seawal 7.00 pagi selepas sarapan, Khir akan memberi taklimat mengenai cabaran yang menanti supaya kumpulan ini sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.

Dan taklimat diakhiri dengan nasihat serta doa agar perjalanan diberkati Allah SWT.

Solat jamak berjemaah tidak pernah ditinggalkan dan dilakukan di mana-mana tempat yang dianggap bersesuaian walaupun berada dalam keadaan mengejar masa untuk sampai ke destinasi seterusnya.

Banyak masa dihabiskan dalam kenderaan dan perjalanan adakala sehingga awal pagi.

Ada satu ketika kumpulan ini tiba di bandar Abas di Iran pada pukul 4.00 pagi sebelum mendaftar masuk ke sebuah hotel murah untuk tidur sekejap sebelum meneruskan perjalanan tiga jam.

Namun dalam kenderaan, kumpulan ini akan membaca al-Quran dan mentelaah maksudnya yang ada kala bersesuaian dengan perjalanan ini.

Jarak perjalanan sehari antara 250km hingga 1,000 km dan akan berhenti hanya apabila perlu sahaja,

Jarak perjalanan melalui darat yang dicatatkan ialah 14,600km mengambil masa 35 hari berakhir di Dubai.

Baki perjalanan sejauh1,400km ke tanah suci terpaksa menggunakan kapal terbang disebabkan kelewatan mendapatkan visa haji untuk membolehkan kami berkenderaan ke Mekah sebelum hari wukuf.

Urusan mendapatkan visa haji dikatakan telah dibincang bersama Tabung Haji sebelum memulakan pengembaraantetapi ketika berada di bandar Yazd, Iran, mereka dimaklumkan oleh Tabung Hai bahawa pengeluaran visa haji sudah tamat tempoh.

Cabaran bila visa haji kehabisan

Perkhabaran buruk itu membuatkan setiap orang dalam kumpulan ini cemas dan terharu memikirkan kemungkinan hasrat untuk menunaikan haji tidak kesampaian setelah menempuh perjalanan ribuan kilometer.

Kesukaran mendapatkan visa haji itu adalah saat yang paling mencabar bagi kumpulan ini.

Bagi kumpulan ini, mereka masih boleh bertahan menghadapi segala kesukaran dan cabaran ketika berada di negara-negara sebelum ini, tetapi berita buruk mengenai visa haji betul-betul menghancurkan harapan.

“Bagaimana kita ni, jika tak sampai ke Mekah malulah saya, kenduri dah buat satu kampung dah tahu,” keluhan jurukamera Ahmad Shahuri Mat Jaan yang kemudian ditenangkan oleh penulis.

Namun kumpulan kembara ini tidak putus asa, dan terus berdoa dan merancang strategi untuk tetap mendapatkan visa haji dengan bantuan pelbagai cara termasuk mendapatkan kerjasama daripada konsulat Malaysia di Dubai yang juga menghampakan.

Namun ia tidak bersesudahan di situ apabila kumpulan ini membuat keputusan agar seorang daripada kami harus pulang membuat rayuan mendapatkan visa haji dari Tabung Haji atau Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Akhirnya, setelah dipersetujui ramai, Khir terpaksa pulang bersama-sama pasport semua pengembara lain untuk mendapatkan visa haji.

Dan dalam keadaan menanti visa haji, peserta kembara lain hidup seperti “pendatang tanpa izin” tanpa dokumen sah perjalanan yang mengehadkan pergerakan mereka untuk melawat UAE.

Untuk mendaftar masuk hotel tanpa dokumen perjalanan juga bermasalah. Tetapi dengan bantuan sepasang suami isteri yang sudah menetap lama di Dubai, mereka menetap sementara di sebuah apartmen yang disewa atas nama warga Malaysia itu.

Tetap buat persediaan

Sepanjang tempoh menantikan berita gembira mengenai visa haji, mereka sentiasa dalam keadaan positif dengan persiapan ke tanah suci seperti berlatih memakai ihram dan banyak membaca mengenai pantang larang ketika menunaikan ibadah haji.

Akhirnya, berita gembira disambut dengan penuh kesyukuran setelah menerima khabar daripada Khir di Kuala Lumpur pada 25 Ogos bahawa rayuan mendapat visa diluluskan dengan bantuan Tabung Haji.

Seolah-olah diberkati Allah SWT, mereka juga berjaya mendapatkan tiket penerbangan untuk lapan tempat duduk terakhir ke Jeddah dari Dubai.

Dan kumpulan pengembara ini berangkat dengan kapal terbang dua hari sebelum hari wukuf.

Cerita mengenai masalah mendapat visa haji itu adalah satu daripada banyak lagi cabaran getir yang dilalui kumpulan ini sepanjang perjalanan itu yang akan disambung dalam siri berikutnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS