Sabah mempunyai jumlah kanak-kanak atau anak muda yang lahir tanpa memiliki taraf kewarganegaraan menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan Sabah memiliki seramai 23,154 orang tanpa kerakyatan yang sekarang berumur di bawah 21 tahun dan paling kurang salah seorang daripada ibu bapanya adalah warga negara Malaysia.
Sabah sahaja menyumbang kepada separuh daripada 43,445 orang yang berhadapan dengan keadaan itu setakat 13 Oktober 2017, manakala seramai 436 individu dari Labuan.
Hal ini berdasarkan jawapan bertulis parlimen kementerian kepada anggota Parlimen Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong yang bertanyakan jumlah kanak-kanak daripada ibu bapa rakyat Malaysia dengan status 'bukan warga negara' mengikut negeri.
Selangor memiliki jumlah kedua terbesar kanak-kanak atau anak muda tanpa kewarganegaraan (3,737), diikuti Johor (2,603), Kuala Lumpur (2,197) dan Sarawak (2,169).

Sabah telah lama mengalami masalah kebanjiran pendatang tanpa dokumen sah dari negara jiran Filipina dan Indonesia.
Terdapat juga dakwaan penduduk Sabah yang majoriti beragama Kristian telah secara sistematik dan dengan sengaja diambil tempatnya oleh para pendatang Islam dari negara-negara jiran bagi menstruktur semula penduduk negeri itu untuk tujuan politik.
Rancangan ini dikenali dengan nama 'Projek IC' atau 'Projek M' dan didakwa berlaku pada tahun 1990-an, selepas Parti Bersatu Sabah yang majoriti anggotanya daripada kalangan penduduk majoriti Kadazan Dusun memerintah sabah dari 1985 ke 1994.
Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mendapati 'Projek IC' mungkin wujud tetapi menolak penglibatan parti-parti politik dan malahan menyalahkan para pegawai kerajaan yang rasuah.
Walaupun sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan pada 2013 bagi melaksanakan syor-syor RCI tetapi para pengkritik berkata tiada yang dibuat sehingga kini.
