Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tahap celik kewangan majoriti rakyat M'sia masih rendah'
Diterbitkan:  Dec 30, 2017 3:48 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Sistem kewangan di negara ini berada pada tahap kukuh dan baik, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, kedudukan yang baik itu dapat menjamin kestabilan dan mendorong kerancakan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Seiring pembangunan pesat negara, industri kewangan turut melalui evolusi, termasuk penghasilan produk dan perkhidmatan yang semakin pelbagai, sekali gus memberi pilihan yang lebih banyak kepada pengguna dan boleh diakses secara dalam talian,” katanya.

Johari berkata demikian dalam ucapannya di  Majlis Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi Disember 2017 di ibunegara hari ini.

Dalam pada itu katanya, majoriti rakyat Malaysia mempunyai tahap celik kewangan yang masih rendah dan merungsingkan.

Tahap pengetahuan dan pengurusan kewangan yang rendah boleh mendatangkan pelbagai keburukan, antaranya bebanan hutang yang tidak berhemah, pembelanjaan luar kemampuan, kegagalan menabung dan terjerumus dalam skim pelaburan yang tidak diiktiraf, katanya.

Sementara itu, BSN menjangkakan penambahan nilai simpanan SSP sebanyak RM1 bilion pada 2018.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Yunos Abd Ghani berkata setakat ini, nilai simpanan SSP adalah sebanyak 3.2 bilion.

“Kami berharap untuk mendapat lebih ramai lagi pendeposit pada 2018, terutama golongan remaja.

“Keseluruhan hadiah SSP yang ditawarkan pada tahun depan bernilai RM20 juta berbanding RM17.7 juta tahun ini,” tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS