Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perbahasan perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam perhimpunan agung parti itu di Shah Alam hari ini diadakan secara tertutup agar perwakilan boleh bebas berucap, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut pengerusi BERSATU itu, perkara itu dilakukan bagi memastikan agar perwakilan bebas berucap tanpa perlu risau ucapan mereka diputar belit media.

“Kita mahu agar semua bebas berucap, sebab bila bercakap depan media, kadang-kadang kita risau bagaimana media akan putar belit apa yang kita katakan,” katanya kepada media apabila diminta penjelasan.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media sejurus selepas perhimpunan agung pertama BERSATU yang menyaksikan 941 perwakilan daripada 983 perwakilan yang layak menghadiri mesyuarat agung itu.

Bagaimanapun, hanya sesi pagi dan petang yang dibuka kepada wartawan termasuklah sesi ucapan Mahathir dan presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Wartawan tidak dibenarkan masuk bagi menyaksikan sesi perbahasan yang diadakan pada tengahari.

Apabila dibandingkan dengan perhimpunan agung Umno yang memberi kebenaran kepada wartawan membuat liputan, Dr Mahathir mendakwa perwakilan Umno telah dimaklumkan agar tidak menyentuh beberapa topik tertentu.

“Umno sudah memberi arahan kepada mereka yang hadir agar tidak membangkitkan isu 1MDB, RM2.6 bilion (yang didakwa sumbangan yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak), Felda dan pelbagai lagi.

“Apa yang anda boleh kata perhimpunan agung Umno adalah untuk bertepuk tangan apabila Najib berucap, berdiri memberi hormat, meskipun anda tidak faham apa yang dia cakap,” katanya.

Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali membersihkan nama Najib dari kesalahan berhubung wang RM2.6 bilion yang diterima perdana menteri itu dalam akaun peribadinya.

Perhimpunan agung BERSATU hari ini diadakan selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi amaran parti itu boleh dibatalkan pendaftarannya sekiranya mesyuarat agung itu tidak diadakan sebelum berakhir hujung tahun.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS