Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Janji kebebasan bersuara Mahathir sukar dipercayai
Diterbitkan:  Dec 30, 2017 11:06 PM
Dikemaskini: 3:10 PM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggambarkan janji terbaru dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula kebebasan bersuara sekiranya pembangkang membentuk kerajaan akan datang, sebagai "sukar dipercayai".

“Bagaimana Mahathir berfikir bahawa beliau boleh melepaskan diri dengan kenyataan sedemikian apabila lebih banyak kebebasan bersuara ketika pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding pada 1980-an ketika Mahathir menjadi perdana menteri?” katanya dalam catatan di laman blog beliau, sskeruak.blogspot.my.

Beliau berkata Dr Mahathir telah menggelar Najib dengan pelbagai nama yang bersifat jahat, malah bekas perdana menteri itu boleh menghadapi pendakwaan di bawah Akta Hasutan.

“Tetapi Najib tidak mengambil tindakan. Najib membenarkan Mahathir terus memfitnahnya, dan setiap hari Mahathir terus menghina Najib... Mahathir tidak akan bertolak ansur 10 peratus daripada apa yang dilakukannya terhadap Najib.

“Tiada bukti yang lebih besar daripada ini bahawa Najib adalah penyebar kebebasan bersuara. Jika tidak, Mahathir tidak dapat berbuat apa yang beliau lakukan dan mengatakan semua perkara yang beliau nyatakan hari ini,” kata Salleh.

Dilaporkan Dr Mahathir membuat janji itu semasa mesyuarat agung tahunan pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Shah Alam, Selangor hari ini.

Dr Mahathir ialah pengerusinya parti berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS