ADUN Lepar meninggal dunia
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar Datuk Mohd ShohaimiJusoh, 55, meninggal dunia di rumahnya di Sungai Isap Damai, di Kuantan, awal pagi ini.
Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail berkata beliau dimaklumkan berita itu olehpegawai arwah kira-kira 3.55 pagi dan amat terkejut kerana mereka baharu berjumpa pada Jumaat lepas.
Katanya mereka bersama menghadiri program sumbangan Jom ke Sekolah oleh Yayasan Felda peringkatParlimen Paya Besar dan arwah tidak kelihatan sakit walaupun demam beberapa hari sebelumnya.
"Saya bertanya jika arwah sudah sihat dan beliau menjawab demamnya sudah kebah. Saya hanya tahuarwah ada penyakit kencing manis.
"Malam semalam juga ada kawan-kawan telefon beritahu arwah mengajak sesi mengeteh di warungberhampiran rumahnya, yang merupakan kebiasaan arwah pada waktu malam.
"Bagaimanapun tiba-tiba arwah batalkan hasrat itu dan beritahu tak apa, kita jumpa malam lain," katanya semasa dihubungi Bernama di Kuantan, hari ini.
Abdul Manan berkata jenazah akan dibawa ke Masjid Sungai Isap pada 11 pagi ini untuk dimandi dan dikafankan sebelum dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Fajar, Gambang di Kuantan sebelum solat Zohor.

