Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: RCI forex atas desakan Kit Siang
Diterbitkan:  Dec 31, 2017 6:25 PM
Dikemaskini: 3:40 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian pertukaran asing (forex) pada tahun 1990an dibentuk sebagai maklum balas atas desakan ahli-ahli politik termasuklah anggota parlimen DAP Lim Kit Siang.

Dalam Perutusan Tahun Baru, Najib berkata RCI yang melihat kerugian Bank Negara dalam spekulasi pasaran tukaran wang asing semasa zaman perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu merupakan usaha kerajaan bagi memastikan urus tadbir yang baik.

"Tahun 2017 menandakan peristiwa penting dalam sejarah kerana ia tahun kerajaan melipat-gandakan usaha kamu bagi memastikan urus tadbir yang baik di kesemua sektor - termasuklah tidak membenarkan kesalahan masa lalu kekal tidak ditangani.

"Sesetengah ahli politik seperti Lim Kit Siang telah lama mendesak penubuhan RCI menyiasat kerugian forex di antara 1992 dan 1994. Tahun lalu kami memberi maklum balas dengan membentuk panel pakar bagi membuat siasatan.

"Mereka merumuskan Bank Negara menanggung kerugian sebanyak RM31.5 bilion ketika itu yang menurut mereka 'memberi kesan negatif terhadap ekonomi negara' yang bermaksud menafikan peluang pembangunan negara," kata beliau.

Pihak pembangkang menuduh Najib cuba mengalihkan perhatian daripada skandal 1MDB dengan RCI forex menumpukan kepada Mahathir yang kini memimpin pembangkang.

Namun, Najib berkata rakyat Malaysia berhak untuk tahu apa yang terjadi pada masa lalu.

Najib tidak menyentuh 1MDB dalam perutusan sebanyak 36 perenggan itu yang mana beliau mengimbau peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang tahun.

Sebelum ini, beliau menafikan sebarang salah laku atau mengambil dana awam atas tujuan peribadi.

Kapitalisme kroni

Pada 2017, Najib berkata SPRM yang 'diberikan nafas baru' telah menunjukkan pesalah akan dihukum.

Najib turut menyorot pengumuman beliau pada Julai lalu bahawa kerajaan sedang berusaha untuk menghapuskan budaya kapitalisme kroni yang diciptakan 'bekas pemimpin', yang dipercayai merujuk kepada Mahathir.

"Rakyat Malaysia membayar harga yang mahal jadi beberapa orang kawan bekas pemimpin ini boleh membuat keuntungan yang banyak tanpa peduli kesannya kepada rakyat.

"Kami jelas yang (amalan) ini mesti berakhir. Kemerosotan urus tadbir dalam sektor swasta atau awam tidak boleh diterima.

"Ia perlu disiasat dan diperbaiki bukan hanya kerana ia perlu bagi menjadikan Malaysia untuk terus berada di atas landasan status negara berpendapatan tinggi tetapi kerana rakyat sangat memerlukannya," kata beliau.

Lihat Komen
ADS