Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA: Bagaimana Dr M boleh janjikan kebebasan
Diterbitkan:  Dec 31, 2017 10:29 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

Ketua biro keharmonian agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang berpura-pura selepas mantan perdana menteri meminta maaf atas kesalahan masa lalu beliau dan berikrar komitmen beliau untuk kebebasan bersuara.

"Sungguh ironi buat Mahathir membuat dakwaan sedemikian dan ia kepura-puraan kerana ketika zaman pemerintahan beliau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan ke atas rakyat, aktivis dan ahli politik yang mempunyai pendapat berbeza," kata beliau dalam suatu kenyataan media hari ini.

Ti turut mengkritik hujah Mahathir bahawa perdana menteri sebelumnya menahan lebih ramai orang berbanding beliau.

"Beliau mendakwa perdana menteri sebelumnya membuat lebih banyak tangkapan berbanding beliau, tetapi penangkapan itu dibuat pada kemuncak pemberontakan bersenjata komunis dan dibuat untuk menjaga keselamatan negara, bukan untuk menjaga kerjaya politik mereka.

"Mereka tidak pernah menyalahgunakan ISA untuk menahan lawan politik di dalam atau di luar parti. Mereka hormat semangat undang-undang," katanya.

Mahathir membuat permohonan maaf semasa perhimpunan agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Shah Alam, semalam.

Mahathir dalam ucapannya juga berikrar Pakatan Harapan (HARAPAN) komited dalam perjuangan untuk pemisahan kuasa dan kebebasan sivil.

Sebaik sahaja Mahathir membuat kenyataan itu, menteri komunikasi dan multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan janji kebebasan itu sebagai 'sukar untuk dipercayai' serta menambah kebebasan bersuara bertambah baik selepas era Mahathir, khususnya di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Namun demikian, pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil dalam kenyataannya hari ini menempelak perkara ini.

Fahmi (gambar, atas) mendakwa kenyataan Salleh tidak berlandaskan fakta, menunjukkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang merosot dari tangga 104 pada 2003, ketika Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri sehingga jatuh ke tangga 144 pada 2017.

Bagaimanapun, sebanyak 14 negara ditambah masuk dalam senarai kedudukan itu sejak 2003.

"Di bawah Datuk Seri Najib, begitu banyak media cetak dan online yang telah digantung atau diharamkan termasuk The Edge, Sarawak Report, The Malaysian Insight dan Asia Sentinel.

"Kebanyakan media ini ditekan kerana membuat laporan tentang penyelewengan wang dari 1MDB," katanya.

Oleh itu, menurut Fahmi sangat jelas kebebasan bersuara teruk merosot di bawah Najib.

Lihat Komen
ADS