Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ keluarkan lebih 20,000 saman dalam Ops Patuh

Sebanyak 21,613 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan dalam Ops Patuh yang dijalankan di seluruh negara bagi tempoh Januari sehingga 30 Dis 2017.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata saman berkenaan melibatkan kesalahan seperti lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Katanya, dalam tempoh sama 42,478 kenderaan diperiksa dan lebih 28,000 notis dikeluarkan oleh agensi penguatkuasaan itu selain 72 kenderaan disita.

“Kita mendapati kebanyakan kenderaan yang disita dipandu oleh warga asing, kebanyakan mereka tidak mempunyai lesen memandu.

“Selain itu, notis dikeluarkan untuk pemilik kenderaan membawa kenderaan menjalani pemeriksaan misalnya untuk pemeriksaan cermin gelap,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Ops Patuh di Jalan Bangsar di Kuala Lumpur, awal hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ismail Mohd Zawawi berkata dalam Ops Patuh berkenaan, 2,896 kenderaan diperiksa dalam operasi di Jalan Bangsar dan Jalan Genting Klang.

Menurutnya, 724 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pemilik kenderaan dalam operasi yang bermula kira-kira 8.30 malam tadi dan berakhir pada 1 pagi ini. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS