Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir tak layak cakap soal Islam, kata Mohd Amar

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad bukanlah orang yang layak untuk bercakap tentang Islam.

Beliau mendakwa bekas perdana menteri itu sejak dahulu lagi "begitu alergik dengan agama".

"Bukan saya mahu merendahkannya, tetapi sejak dulu lagi saya perhati (dan mendapati) beliau tak ada kelayakan untuk bercakap soal agama.

"Lebih baik beliau sahaja jika berkaitan isu agama. Apabila bercakap, nampak kejahilannya," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar mendakwa Mahathir sememangnya sering memberikan respons yang keras dalam hal membabitkan agama.

"Seolah-olah beliau tak boleh terima. Saya pun tak tahu apa perasaan dia yang sebenar," katanya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir Sabtu lalu yang menyifatkan mufti turut bertanggungjawab terhadap tragedi Memali 1985, kerana pada ketika itu tidak bersuara membantah "Amanat Haji Hadi" yang menurutnya punca berlakunya peristiwa hitam itu.

"Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh mufti.

"Saya fikir mufti-mufti patutlah bertanggungjawab kenapa berlaku peristiwa Memali, ia tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi mufti mencabar Amanat Hadi (yang malah) tidak disangkal oleh mereka,” kata Mahathir.

'Amanat Haji Hadi' merujuk ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tersebar di kalangan anggota PAS pada 1981 di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu, berhubung penentangan terhadap Umno yang "mengekalkan undang-undang kafir".

Ia dianggap banyak pihak sebagai antara punca amalan "kafir-mengkafir" antara penyokong PAS dan Umno, serta amalan sembahyang dua imam satu ketika dahulu.

Lihat Komen
ADS