Terjemahan Pilihanraya kampus di universiti tempatan kini merupakan persaingan antara pelajar dengan pihak pentadbiran, bukannya sesama pelajar, kata Ketua Pemuda DAP, Nga Kor Ming.

Berikutan itu, beliau menggesa supaya dikembalikan semula pilihanraya kampus yang bebas sepertimana sebelumnya.

Menurutnya, pilihanraya kampus yang bebas sebelum ini, membolehkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang dan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertajamkan kualiti kepimpinan mereka.

Nga menegaskan demikian di persidangan sehari bertajuk Kepimpinan Belia: Cabaran Globalisasi anjuran Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia (MSRC) yang dihadiri oleh kira-kira 200 orang.

Nga (kiri) membangkitkan tentang perlunya sistem pendidikan negara dirombak semula serta ditamatkan amalan di mana pelajar dan pesnyarah diwajibkan menandatangani akurjanji.

Mengenai sistem perlantikan ahli akademik ke jawatan penting oleh pihak menteri, beliau berkata ia masih mewarisi kelemahan yang wujud selama ini.

Beliau mendakwa, ketaatan merupakan 'kunci' untuk memastikan mereka kekal memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Ketua Puteri MIC, J Usha Nandhini, pula berkata, golongan belia mesti digalakkan membabitkan diri dalam politik.

Kesedaran berpolitik

"Apa yang perlu kita galakkan di kalangan remaja hari ini, terutama di bidang kepimpinan, ialah kesedaran berpolitik. Ramai yang tidak mempunyai masa untuk politik.

"Politik adalah mengenai penyertaan dan membuat keputusan. Ianya adalah mengenai perkongsian kuasa, berunding di semua peringkat dan membabitkan semua isu," tambahnya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu menyediakan latihan dan pendidikan dalam bidang kepimpinan formal dan tidak formal terutama di kalangan wanita remaja.

"Kini wujud keperluan mendesak untuk melatih pemimpin belia yang berpotensi dalam bidang seperti kemahiran kepimpinan," katanya.

"Walaupun sudah wujud kepimpinan belia Malaysia, tetapi banyak lagi yang perlu dilakukan. Apa yang mustahak ialah pelaksanaan program kepimpinan yang terancang dan perubahan minda di kalangan beliau sendiri," tambahnya.

Turut bercakap di persidangan tersebut ialah Ketua Biro Pendidikan Puteri Umno Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Naib Presiden Persatuan Usahawan Muda Malaysia Kee Wah Soong.