Samun RM1.5 juta: Polis buru 8 lelaki
Lapan lelaki tempatan disyaki terlibat dalam rompakan kedai emas dengan anggaran kerugian RM1.5 juta di pusat beli belah di Taman Segar, Cheras di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata ini berdasarkan penelitian terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Rakaman CCTV mendapati enam suspek masuk ke dalam kedai untuk merompak manakala dua lagi menunggu di tempat letak kereta dengan motosikal.
"Suspek menaiki empat motosikal dan telah berpecah kepada dua kumpulan ketika melarikan diri. InsyaAllah polis akan menahan mereka dalam masa terdekat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya, siasatan menunjukkan sebelum rompakan itu dilakukan, suspek telah mengkaji bahawa meja pameran di premis itu tidak mempunyai lapisan kaca yang tebal dan menjurus kepada ia senang dipecahkan dalam kejadian yang mengambil masa kira-kira tiga minit sahaja.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam, 31 Disember lepas itu, suspek dilihat memakai topi keledar berpenutup penuh serta bersarung tangan dan bersenjatakan tukul besi sewaktu melakukan rompakan.
-Bernama

