Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS dapat rasa keikhlasan pujian Najib
Diterbitkan:  Jan 3, 2018 7:02 PM
Dikemaskini: 11:20 AM

Pemuda PAS beranggapan pujian perdana menteri terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pujian ikhlas.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau dapat merasakan keikhlasan Datuk Seri Najib Razak yang memuji Abdul Hadi sebagai pembangkang yang baik.

"Saya kira Najib juga boleh menjadi seorang pembangkang yang baik jika diberikan peluang," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Najib dalam perutusan tahun baru menyelar kelakuan pihak pembangkang dan membandingkan dengan Abdul Hadi yang disifatkan sebagai 'cara yang lebih baik'.

Menurut Ahmad Fadhli, dakwaan sesetengah pihak bahawa pujian Najib itu bermaksud PAS akan menyokong UMNO sangat-sangatlah tersasar.

Pujian sebagai strategi politik?

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat itu turut membandingkan beberapa pujian melibatkan pemimpin Pakatan Harapan dan BN.

Antaranya pujian Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dikatakan berjaya menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan.

Selain itu, pujian bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Najib dalam isu konflik di Gaza dan isu MH17 turut dibangkitkan.

"Dan sebelum pilihan raya umum yang lepas, Najib telah memuji Himpunan Kebangkitan Rakyat. Anwar menyatakan bahawa pujian itu hanyalah strategi politik semata-mata.

"Marilah kita beranggapan bahawa semua pihak yang dipuji di atas sebenarnya berada dalam satu kelompok dengan pihak yang memuji," katanya dalam nada sindiran.

Dalam perutusan tahun baru itu, Najib mengakui bahawa pembangkang mempunyai peranan untuk dimainkan tetapi mereka tidak seharusnya membangkang atas tujuan untuk membangkang semata-mata.

PAS baru-baru ini memuji kelantangan Najib dalam menyuarakan pendirian berkenaan isu Baitulmuqaddis.

Lihat Komen
ADS