Mesyuarat Khas Dewan Tertinggi BN yang berlangsung lebih sejam malam ini tidak membincangkan mengenai pembahagian kerusi dan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien sebaliknya berkata mesyuarat itu membincangkan mengenai persediaan jentera BN bagi menghadapi PRU14.

“Tidak (pembahagian kerusi dan tarikh PRU) perkara itu tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (BN).

“Tidak ada tarikh (PRU) yang dibincangkan, ia hanya mengenai persediaan umum,” katanya kepada pemberita selepas tamat mesyuarat itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ditanya mengenai butiran mesyuarat yang berlangsung malam ini.

Minggu lalu, Berita Harian melaporkan mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan calon 'boleh menang' dan disenangi rakyat pada peringkat akar umbi yang bakal dikemukakan oleh setiap parti komponen.

Hishammuddin turut menyifatkan mesyuarat yang dihadiri semua parti komponen BN itu berjalan dengan baik dan pihaknya mengikut proses yang ditetapkan.

Mesyuarat bermula pada jam 9 malam tadi selepas BN melancarkan portal theRakyat.com, satu platform baru menghubungkan antara kerajaan dan rakyat dalam menyampaikan dasar-dasar negara, termasuk manifesto mendepani PRU14 akan datang.

Sementara itu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai ketika ditemui selepas mesyuarat itu berkata pihaknya sudah pun menghantar senarai nama calon dan ia terserah kepada perdana menteri.

“Yang penting adalah perpaduan di kalangan semua parti-parti komponen.

“Senarai nama (calon) telah diberikan kepada perdana menteri. Kesemua parti komponen sudah beri. Senarai nama itu telah dimuktamadkan dan terserah kepada PM,” katanya.