Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hati Melayu tersentak Dr M kerjasama dengan DAP - Rizal
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 9:29 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Pembantu khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor hari ini berkata hati orang Melayu sudah cukup tersentak dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bekerjasama dengan DAP.

Justeru, menurut Rizal, tidak perlu bagi bekas perdana menteri itu membangkitkan isu kafir mengkafir antara PAS dan Umno.

“Buat Mahathir, tak perlulah cuba mengadu domba dalam isu kafir-mengkafir antara PAS dengan Umno kerana hati orang Melayu sudah cukup tersentak dengan tindakan anda yang sanggup bekerjasama dengan DAP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir sebelum ini membangkitkan semula 'Amanat Haji Hadi' yang mengandungi dakwaan bahawa PAS melawan Umno kerana parti itu mengekalkan peraturan kafir.

Menurut Rizal, Mahathir kini bekerjasama dengan DAP yang pernah dilabelnya sendiri sebagai anti-Melayu dan anti-Islam demi mengangkat anaknya sebagai perdana menteri.

Rizal tidak menyebutkan nama 'anak' Mahathir yang dimaksudkan, namun dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang disingkirkan daripada jawatan sebagai menteri besar Kedah pada 2016.

“Kamu juga dulu ajar orang Melayu benci DAP kerana anti-Melayu dan anti-Islam, tetapi hari ini sanggup pula bekerjasama dengan individu yang kamu kata sebagai peliwat semata-mata untuk jadikan anak sebagai perdana menteri,” katanya merujuk pensabitan dakwaan liwat bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rizal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini yang berkata penolakan cadangan perdana menteri sementara Pakatan Harapan (HARAPAN) oleh PAS mungkin kerana parti itu ingin mengekalkan kepimpinan negara sedia ada.

Telahan Dr Wan Azizah itu, menurut Rizal hanya mengiyakan pandangan umum bahawa Datuk Seri Najib Razak merupakan pemimpin yang diakui oleh PAS dapat memperkasakan kedudukan Islam.

“Kalau bukan Najib, mungkin PAS telah tersedar tiada sesiapa mampu lakukannya setelah Mahathir atau Anwar bagaikan lembu dicucuk hidung untuk mengikuti kehendak DAP demi mendapat undi masyarakat Cina.

“Justeru, telahan Wan Azizah itu membuktikan masyarakat Islam di negara ini tiada pilihan lain selain mengangkat Najib sebagai perdana menteri jika mahu kedudukan agama Islam terus dipelihara dan martabatkan diperkasakan mengikut perkembangan semasa,” katanya.

Rizal turut mengingatkan Dr Wan Azizah agark tidak tertipu dengan sandiwara Dr Mahathir kerana ia hanya akan mengubur cita-cita Anwar.

“Buat PKR terutama Wan Azizah, jangan terus tertipu dengan sandiwara Mahathir kerana jika beliau jadi perdana menteri sekali lagi, cita-cita Anwar akan berkubur menjadi angan-angan Mat Jenin,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS