Penduduk Kampung Bari Kecil melahirkan kerisauan berhubung isu hakisan yang dijangka mampu menenggelamkan jalan laluan tepi pantai kampung berkenaan, di Setiu.

Seorang penduduk kampung, Irwan Mat Noor, 37, berkata rezab tanah untuk jalan laluan tepi pantai itu juga dilihat semakin sedikit apabila terhakis dan mungkin tiada lagi kawasan yang boleh gunakan untuk membina laluan tersebut selepas ini.

“Kalau keadaan hakisan berterusan, mungkin selepas ini penduduk dan orang ramai tidak dapat lagi melalui kawasan tersebut dan mereka juga tidak boleh menikmati keindahan pantai seperti sebelumnya.

“Dahulu kawasan ini terkenal dengan keindahan pantainya dan merupakan tempat persinggahan nelayan yang balik dari laut, tapi kini suasana itu telah tiada,” katanya ketika ditemui Bernama semasa tinjauan di lokasi tersebut.

Katanya hakisan itu mula berlaku beberapa tahun lepas dan semakin buruk ekoran angin kencang dan hujan lebat.

Anggota Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Mohamad Sabri Mohamad, 63, pula berkata pokok rhu yang ditanam dahulu secara berlapis-lapis di tepi pantai bagi dijadikan penahan hakisan, kini hanya tinggal dua baris sahaja selepas dibadai ombak .

Katanya jika tidak ditanam pokok rhu tersebut mungkin keadaan lebih teruk daripada sekarang.

“Ombak besar dan angin kuat pada dua hari lepas menyebabkan air laut naik sehingga memasuki kawasan perkuburan yang terletak di seberang jalan bertentangan dengan laut,” kata Sabri.

Masalah tersebut telah mendapat perhatian banyak pihak dan menerima lawatan pelbagai pihak berwajib pada petang kemarin.

Sebelum ini media melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri merangkap Adun Permaisuri Datuk Mohd Jidin Shafee berkata masalah itu telah dipanjangkan kepada kerajaan negeri oleh Pejabat Daerah dan Tanah Setiu serta dalam tindakan pihak berwajib.

Sementara itu, tinjauan turut dilakukan di Kampung Kolam, Mengabang Telipot dan mendapati kawasan hakisan sedang giat dibaiki dengan penambakan batu-batu besar dijadikan benteng.

Jaafar Abdullah, 60, dari Kampung Kolam berkata kebanyakan penduduk tidak lagi risau kerana yakin dengan kecekapan kerajaan negeri mengatasi masalah itu dan berharap laluan tersebut akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

- Bernama