Bursa Malaysia meneruskan momentum menaik semasa dibuka pagi ini dengan Indeks Komposit bergerak kepada paras tertinggi dalam tempoh lebih dua tahun (31 bulan) dan hampir kepada 1,800, disokong minat yang kukuh susulan sentimen pasaran global positif, kata peniaga.

Pada 9.04 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,798.81, meningkat 6.02 mata daripada 1,792.79 ketika ditutup pada Rabu. Indeks itu dibuka 2.77 mata lebih tinggi kepada 1,795.56.

FBM KLCI diniagakan pada 1,809.72 semasa Mei 2015 sebelum susut ke bawah paras 1,800 selepas itu.

Maybank IB Research berkata, berasaskan Wall Street yang ditutup pada paras tertinggi dan kesan limpahan positif daripada sentimen pra-pilihan raya, pasaran saham tempatan dijangka terus meningkat hari ini.

“Secara teknikal, kami menjangkakan indeks penanda aras itu diniagakan antara 1,790 dan 1,800 hari ini. Sokongan kecenderungan ke bawah pada 1,770 dan 1,752,” menurutnya dalam satu nota hari ini.

Peniaga berkata, Wall Street semalaman ditutup kukuh dengan disokong data perkilangan AS yang positif telah meningkatkan keyakinan pelabur dalam pertumbuhan global.

Beliau berkata, asas-asas tempatan juga kekal teguh, didorong peningkatan ringgit berbanding dolar AS, ditambah dengan aliran masuk dana asing dalam jumlah yang besar ke dalam negara telah membantu​​​​​​ memacu bursa tempatan ke paras lebih tinggi.

Lingkungan pasaran keseluruhannya kukuh dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 287 berbanding 55, manakala 208 kaunter tidak berubah, 1,261 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 252.22 juta saham bernilai RM100.66 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank menokok satu sen kepada RM9.79, manakala Public Bank dan CIMB masing-masing naik dua sen RM20.78 dan RM6.55, dan Tenaga tidak berubah pada RM15.30.

Petronas Chemicals melonjak 12 sen kepada RM8.07 dan Sime Darby meningkat 12 sen kepada RM2.53 dengan kenaikan kedua-dua saham ini telah mendorong FBM KLCI kepada paras lebih tinggi dengan gabungan mata sebanyak 3.152.

Saham aktif, P.A Resources naik setengah sen kepada 7.5 sen, Hibiscus menokok 3.5 sen kepada 95.5 sen, Sino Hua-An bertambah satu sen kepada 47 sen, namun Vivovom susut setengah sen kepada 13.5 sen.

Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat 48.68 mata kepada 12,979.06, Indeks FBMT 100 naik 46.35 mata kepada 12,634.81 dan FBM 70 melonjak 72.78 mata kepada 16,133.8.

Indeks FBM Emas Syariah meningkat 71.93 mata kepada 13,365.89 dan FBM Ace bertambah 13.09 mata kepada 6,843.29.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 43.77 mata kepada 16,968.34, Indeks Perusahaan meningkat 19.61 mata kepada 3,328.77, manakala Indeks Perladangan menokok 20.61 mata​​​​​​ kepada 7,964.8.

- Bernama