Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam temubual sulung di portal rasmi BN, untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) theRakyat berkata tiada sebarang petanda yang menunjukkan negara bakal mengalami kebankrapan.

Menerusi program Bicara Empat Mata, katanya, penarafan ekonomi yang diberikan kepada Malaysia masih lagi A- dan tinjauan yang stabil meskipun terdapat dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hutang yang ditanggung negara ketika ini terlalu besar dan tidak terurus.

“Ini bererti kita berada dalam kelompok negara A. Ada banyak lagi negara yang berada dalam kelompok B dan C yang mana keadaan mereka jauh lebih dahsyat daripada kita.

“Kalau hendak kata kita bankrap, tentulah kelompok B dan C akan bankrap lebih awal daripada A, betul tak?

“Jadi tidak ada tanda-tanda yang kita nak bankrap dan rizab kita jauh lebih besar daripada rizab semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dahulu,” katanya merujuk semasa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri.

Walaupun tidak menamakan perdana menteri selama 22 tahun itu secara langsung, namun wawancara Najib jelas menjadikan Dr Mahathir sebagai sasaran.

Malah, kata Najib, pertumbuhan ekonomi dan kedudukan kewangan setiap negara termasuk Malaysia sentiasa dipantau secara berkala oleh badan-badan penarafan antarabangsa oleh antaranya Moody’s, Fitch Ratings, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

“Pada ketika itu, kita punya rizab lebih kurang AS$20 bilion. Sekarang sudah lebih AS$100 bilion, maknanya lima kali ganda daripada keadaan rizab ketika itu.

“Kenapa ketika itu tidak timbul cerita rakyat Malaysia nak bankrap?

“Patutnya pada masa itulah, (ketika itu) nilai mata wang kita merudum, banyak syarikat bankrap, kenapa tidak timbul?” soalnya.

Mahathir sejak awal Disember tahun lalu menyerang cara pentadbiran Najib menguruskan ekonomi, khususnya selepas beliau diheret ke Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian tukaran mata wang asing itu.

Justeru, katanya, kerugian rizab asing Bank Negara antara 2013 dan 2015 sebanyak RM161 bilion juga wajar disiasat.

Kerajaan sebelum ini menjelaskan kerugian berkenaan adalah akibat untuk memudahkan kecairan, dan mengurangkan ketidakseimbangan dalam penawaran dan permintaan ringgit, yang
adalah sebahagian daripada pengurusan pasaran pertukaran asing.

Pada wawancara itu, Najib juga menyentuh mengenai nilai ringgit, yang menurutnya, kerajaan telah mengambil langkah mengukuhkan fundamental ekonomi yang mana kesannya akan nampak ketara pada jangka masa panjang.

“Alhamdulillah, sebulan dua ini, kita sudah dapat melihat dasar kita memang ringgit semakin kukuh. Banyak yang kata ia akan terus meningkat lagi,” katanya.

Bagi rekod, kadar pertukaran semasa adalah RM4.0325 berbanding AS$1.00.