Rohani: MAHB patut guna budi bicara
Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pihak berwajib sepatutnya menggunakan budi bicara berhubung isu kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia2) Ahad lalu.
“Malaysia Aiport Holdings Bhd (MAHB) dan agensi terlibat seharusnya menyelesaikan isu berkenaan dengan budi bicara bersama keluarga kanak-kanak itu tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Sehubungan itu, penjelasan dan tindakan sewajarnya daripada pihak berkenaan mampu menyelesaikan isu ini secara baik serta mencegah salah faham yang mungkin timbul,” katanya seperti dilapor mStar Online.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu memberitahu kanak-kanak tidak boleh ditinggalkan keseorangan tanpa pengawasan ibu bapa atau penjaga.
“Ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan memastikan keselamatan kanak-kanak,” tambah beliau.
Media sebelum ini melaporkan seorang bapa terpaksa meninggalkan anak perempuannya bersendirian kerana tidak dibenarkan berlepas pulang melalui penerbangan dari KLIA2 ke Kuching, Sarawak akibat kehilangan kad MyKid.
Dilaporkan, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis di Klia2 namun anaknya tidak dibenarkan melepasi pemeriksaan keselamatan walaupun sudah menunjukkan laporan polis, salinan pasport dan salinan sijil surat beranak.
Kesal dengan insiden itu, bapa kanak-kanak berkenaan Wan Fadillah Wan Ahmad, 37 mendakwa pegawai polis bantuan MAHB langsung tidak menawarkan bantuan atau perlindungan kepada anak perempuannya sementara dia pulang ke Kuching untuk mendapatkan pasport anaknya sebagai pengesahan.
Wan Fadillah berkata anaknya dijaga oleh rakan kepada ibu mentuanya yang datang ke Klia2 untuk bertemu mereka sebelum berlepas.
MAHB dalam kenyataannya pada Isnin berkata, keutamaan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) adalah untuk memastikan protokol keselamatan dilaksanakan menurut peraturan ditetapkan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
"Protokol keselamatan yang ketat ini juga sejajar dengan Program Keselamatan Penerbangan Awam Kebangsaan (NCASP) yang mana hanya dokumen perjalanan dan pengenalan asal dibenarkan untuk menaiki pesawat,” katanya.
Jurucakap MAHB juga dilapor berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak 12 tahun itu seharusnya mencari penyelesaian terbaik berikutan kehilangan Mykid milik anak mereka.
“Sehubungan itu, dalam kes keluarga berkenaan, ibu bapa kepada kanak-kanak itu seharusnya tidak meninggalkan anak mereka sehingga urusan membabitkan dokumen pengenalan tersebut dapat diselesaikan.
“Cara ini dapat dilakukan sama ada mereka perlu mendapatkan pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung dokumen pengenalan anak mereka atau membuat kurier pasport dari Kuching ke Kuala Lumpur,” ujar jurucakap itu.
Wan Fadillah bersama anaknya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada awal pagi Isnin.

