Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas AG: Tak perlu RCI, polis boleh jawab isu Memali

Bekas peguam negara (AG), Tan Sri Abu Talib Othman tidak melihat keperluan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan peristiwa Memali.

Beliau berkata, polis yang sepatutnya menjawab sebarang persoalan berhubung isu itu memandangkan mereka yang mengambil tindakan ketika itu.

Abu Talib berkhidmat sebagai peguam negara ketika insiden itu berlaku pada 1985.

"Mengapa (kita) mahu RCI sedangkan ia peristiwa bertahun yang lalu, ia sudah jadi sejarah," katanya dalam wawancara di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya lagi, polis boleh menjawabnya kerana mereka yang mengambil tindakan dan berada di lapangan ketika ia terjadi.

"Jika ada pihak yang lebih tahu, ia adalah polis di lapangan. Mengapa ketua polis negara (IGP) tidak berkata apa-apa? Mereka sepatutnya menyatakan kebenaran.

"Mengapa polis tidak tampil menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku di lapangan, mereka tahu tentangnya," katanya lagi.

Peristiwa Memali kembali diperkatakan selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir membangkitkannya di mesuarat agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) minggu lalu.

Tahun lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan RCI bagi menyiasat perkara itu.

Menegaskan yang pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden itu perlu dibawa ke muka pengadilan, Abu Talib berkata polis patut melakukan siasatan.

"Mereka yang mengendalikan keadaan. Mengapa politikkan isu itu sekarang...kita mahukan keamanan dalam negara. Kita ada undang-undang, dan kita semua setara di bawah undang-undang," katanya.

PAS berulangkali mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat peristiwa yang mengorbankan empat anggota polis dan pemimpin PAS Kedah Ibrahim Libya beserta 13 pengikutnya di Kampung Memali di Baling, Kedah.

Polis membuat serbuan di kampung itu bagi menahan Ibrahim atas dakwaan memberikan ajaran sesat - dakwaan yang dinafikan PAS. Beliau terkorban akibat ditembak polis.

Ada pihak mendakwa pertumpahan darah itu akibat kekerasan oleh pihak polis. Mahathir pula bertegas polis hanya mempertahankan diri selepas diserang penduduk.

Lihat Komen
ADS