Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isa Samad beri keterangan isu pindah milik tanah Felda
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 4:03 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir di Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung isu pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

"Kenyataan (Mohd Isa) telah selesai diambil pagi tadi pukul 10 pagi di Bukit Aman," katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Buku Perancangan Strategik Kementerian Dalam Negeri 2018 di Putrajaya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan telah menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan hak empat bidang tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Mohamad Fuzi berkata beberapa individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Saya tak perlu dedah (nama mereka) tapi kita akan susun siapa yang akan dipanggil berikutnya dalam masa terdekat. Kita akan cuba selesaikan pengambilan kenyataan yang melibatkan individu berkaitan. Ada beberapa orang lagi,” katanya.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Mohd Isa menjadi Pengerusi Felda dari 2011 hingga Januari 2017 dan menjadi Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Jan 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

- Bernama

Lihat Komen
ADS