Paling Popular
Terkini

PAS beranggapan kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad dan partinya hanya membawa banyak masalah dan tidak membantu memperkukuhkan pembangkang.

Sebaliknya Naib presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Mahathir mempunyai niat untuk merosakkan pembangkang khususnya gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Dia tidak banyak membantu untuk mengukuhkan pembangkang berdepan BN. Sebab banyak masalah yang berlaku hari ini, saya tengok selepas munculnya Mahathir dengan partinya.

"PKR jadi kelam-kabut, HARAPAN jadi kelam-kabut. Semuanya sejak Dr Mahathir muncul.

"Sebab itu pada pandangan saya Dr Mahathir ini niat tersembunyinya untuk merosakkan pembangkang dan bukan untuk membantu pembangkang menentang BN," tegas Mohd Amar.

Beliau mengulas tindakan Mahathir menggelar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat kerana didakwa cuba memecahbelahkan undi pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Mahathir sebelum ini mendakwa, Abdul Hadi “membantu” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun tahu beliau akan hilang banyak kerusi.

"Inilah niatnya dan ia tidaklah islamik sangat.

"Dalam Melayu, kita panggil pengkhianat," kata Mahathir ketika diminta mengulas hasrat PAS bertanding di 130 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Umno musuh tradisi PAS

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Mahathir sepatutnya jelas dengan pendirian PAS bahawa musuh politik utama parti Islam itu adalah BN.

"Jadi sesiapa yang menganggap PAS ini menyokong dan mempertahankan BN, terutamanya Umno adalah satu kesilapan.

"Sebab kerusi-kerusi yang kita bertanding majoritinya adalah kerusi yang ditandingi Umno."Jadi mana-mana pihak yang berhasrat untuk menumbangkan BN, mereka sepatutnya tidak mengganggu kerusi-kerusi tradisi PAS," katanya yang juga ADUN Panchor.

Sementara itu, Mohd Amar berkata, dengan kedudukan PAS dalam politik Malaysia - sepatutnya tidak berbangkit tuduhan bahawa PAS mahu menganggu Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dipengerusikan Mahathir.

Ini kerana menurutnya, Parti pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) adalah parti baru.

"Merekalah yang boleh dikatakan sebagai pengacau kepada suasana politik kita hari ini. Kita sudah ada kerusi tradisi, mereka yang baru ini yang nak kacau kerusi kita," ujarnya.

 

Lihat Komen
ADS