Cukai Nilai Tambah sebanyak lima peratus tidak akan menambah kos operasi jemaah haji, bagaimanapun ia hanya untuk jemaah haji Muassasah kali pertama (yang diuruskan Tabung Haji) kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah.

"Lembaga Tabung Haji (TH) mengulas pertanyaan pihak media mengenai pelaksanaan Cukai Nilai Tambah (VAT) pada kadar lima peratus yg diperkenalkan kerajaan Arab Saudi baru-baru ini dan kesannya kepada kos operasi haji.

"TH sedia maklum dan mengambil kira faktor cukai nilai tambah tersebut dalam pengiran kos operasi musim haji 2018," kata Johan dalam suatu kenyataan media TH hari ini.

Johan juga memberikan jaminan TH cukai tersebut tidak akan memberi impak pada kos operasi haji jemaah.

"Pelaksanaan cukai tersebut tidak memberi impak kepada jemaah TH (Muassasah) kali pertama kerana bayaran haji kekal sebanyak RM9,980.

"Namun begitu keseluruhan subsidi haji akan ditanggung oleh TH dijangka meningkat kepada RM400 juta seperti yang telah diumumkan bulan lalu," kata beliau lagi.

Menurut Johan, TH sejak tahun 2009 telah menanggung lebih daripada RM1 bilion subsidi haji.

Tahun lalu, seramai 42,200 jemaah Malaysia berada di Tanah Suci untuk melaksanakan Rukun Islam Kelima itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika musim haji tahun lalu mengulas mengenai subsidi kerajaan kepada jemaah haji.

"Kita mempunyai subsidi yang hampir sama banyak dengan apa yang jemaah haji sudah bayar iaitu hampir 100 peratus di mana tuan-tuan membayar RM9,980 dan kerajaan bagi subsidi sebanyak RM9,570. mungkin tahun depan akan lebih lagi subsidi berbanding RM260 juta tahun ini.

"Kalau Tabung Haji tidak diuruskan dengan baik dan menjadi modal politik, jadi siapa yang akan rugi tuan puan? Inilah institusi kita (yang perlu dijaga) kerana Tabung Haji lah kita dapat subsidi yang banyak," kata beliau dalam laporan  Malaysiakini.