Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat Dr Mahathir tuduh Utusan salah tafsir ucapannya
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 4:39 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad menuduh Utusan Malaysia sengaja menyalahtafsir kenyataan beliau dengan memetiknya sebagai berkata mufti adalah kafir.

Dalam surat terbuka, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, akhbar milik oleh Umno tahu bahawa dirinya tidak membuat kenyataan sedemikian.

"Tetapi sebagai media milik parti kerajaan, Utusan perlu salah tafsir (kenyataannya) untuk selamatkan diri," katanya, sambil mencabar akhbar itu untuk menerbitkan secara penuh suratnya itu.

Dr Mahathir pada ucapannya di perhimpunan agung BERSATU pada 30 Disember lalu menegur mufti-mufti di negara ini - yang turut bertanggungjawab menasihati sultan - kerana gagal berperanan dengan baik dalam isu berkaitan PAS.

Beliau merujuk kegagalan para mufti dan ulama daripada menegur Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mengeluarkan “amanat” pada tahun 1981 yang menurutnya, menjadi punca tercetusnya peristiwa berdarah Memali, empat tahun kemudian.

Mengimbas kembali ucapannya dalam surat itu, bekas perdana menteri itu berkata "jika mufti tidak menolak dakwaan PAS dan Amanat Haji Hadi bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang kafir menjadi kafir, maka mufti juga jadi kafir kerana mereka tidak menyatakan penolakan mereka.”

Mahathir berkata mufti bukan orang sebarangan dan bertanggungjawab menasihati kedua-dua Raja-raja Melayu dan rakyat mengenai Islam.

"Menjadi tanggungjawab mufti untuk memberi pendapat sama ada dakwaan PAS dan Haji Hadi (adalah) benar atau tidak.

“Amanat Hadi dibuat kerana tujuan politik tetapi amanatnya memesongkan agama orang Islam,” katanya dalam surat itu.

Mahathir berkata memandangkan mufti tidak memberikan pendapat mereka mengenai perkara itu, ramai umat Islam percaya dengan kenyataan Abdul Hadi itu.

Ini, katanya, sehingga mengakibatkan ada yang mengisytiharkan ibu bapa mereka sebagai kafir, ada yang berkahwin sekali lagi, tolak makanan sembelihan orang Umno, sembahyang berasingan imam, mendirikan masjid berasingan dan pelbagai lagi.

Sedangkan, menurut perdana menteri selama 22 tahun itu, mufti-mufti pernah menyuarakan pandangan mereka mengenai ajaran sesat tokoh-tokoh seperti Al Arqam dan Ayah Pin.

"Semua ini dilaporkan oleh Utusan dahulu,” katanya.

Mahathir berkata walaupun mufti tidak sepatutnya terlibat dalam politik, namun mereka perlu campur tangan apabila Islam digunakan untuk tujuan politik dan mengelirukan rakyat.

"Amatlah penting dan menjadi tanggungjawab mufti memberi penjelasan sama ada pendapat orang politik itu benar-benar berasas kepada Islam. Sehingga sekarang, belum ada pendapat atau penjelasan yang dibuat oleh mufti (mengenai amanat Hadi).

"Hakikatnya ialah jika orang bukan PAS termasuk saya dianggap kafir, maka mufti juga boleh dikatakan kafir kerana tidak menyertai PAS.

"Jika amanat Haji Hadi diterima, mufti bekerja dan menjadi pengawai dalam kerajaan kafir. Benarkah?” soalnya.

Dalam amanatnya, Abdul Hadi tidak menyatakan secara jelas bahawa mereka yang tidak menyertai PAS adalah kafir tetapi menyebut bahawa orang Islam “menjadi kafir dengan mengamalkan politik suku, agama suku”.

Berikut sedutan amanat berkenaan:

Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Lihat Komen
ADS