Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes badut: Mahkamah perintah Fahmi Reza bela diri
Diterbitkan:  Jan 4, 2018 6:04 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini memerintahkan pereka grafik Fahmi Reza membela diri atas pertuduhan berkaitan lukisan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berwajah badut yang dimuat naik dalam Facebooknya dua tahun lalu.

Utusan Online melaporkan Hakim Norashima Khalid memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Fahmi atas pendakwaan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Jun tahun lalu, Fahmi minta dibicarakan atas dua pertuduhan jenayah di bawah akta komunikasi dan multmedia itu. Perbicaraan berlangsung di dua mahkamah, satu di Mahkamah Sesyen Ipoh dan satu lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Jika sabit kesalahan, Fahmi menghadapi hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam Syahredzan Johan mewakili Fahmi dalam perbicaraan ini.

Sebelum ini, Fahmi memfailkan semakan kehakiman mencabar keperlembagaan akta komunikasi itu dalam cubaan beliau untuk membuang kes pertuduhan terhadapnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari tahun lalu telah membenarkan permohonan Fahmi itu tetapi Mahkamah Persekutuan kemudiannya menolak kes itu atas sebab kes tersebut tidak dibawa dengan betul ke mahkamah itu dan memerintahkan ia diremit ke Mahkamah Sesyen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS