Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida sedia tanding di mana sahaja, termasuk Hulu Langat

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata beliau bersedia untuk bertanding di mana-mana kerusi termasuk Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, langkah itu perlu bagi memperkukuhkan pembangkang di Selangor.

“Saya bersedia dihantar di mana-mana sahaja demi mengekalkan dan memperkukuhkan kerajaan Pakatan di Selangor. Saya pun orang Kajang bawah parlimen Hulu Langat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama media di Hotel Concorde, Shah Alam.

Semalam, Bernama memetik sumber melaporkan bahawa Zuraida akan bertanding di Parlimen Hulu Langat manakala Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kerusi Parlimen Shah Alam pada PRU14.

Menurut sumber, nama mereka dan dua kerusi parlimen berkenaan dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor, semalam.

Belum dapat persetujuan

Mengulas lanjut, Anggota Parlimen Ampang itu berkata cadangan tersebut belum lagi mendapat persetujuan bersama. Bagaimanapun, beliau menerima baik jika di letakkan di Hulu Langat.

“Belum dapat persetujuan tapi itu lontaran pandangan, jadi saya menerima dengan baik untuk memperkukuhkan Pakatan yang ada, saya bersedia kemana sahaja,” katanya.

Zuraida ketika ditanya adakah langkah itu akan mengkhianati pengundi Ampang yang selama ini setia bersamanya berkata calon PKR lain akan melakukan kerja yang lebih baik di Ampang.

“Pengundi Ampang sangat matang kerana mereka tahu kita perlu mengukuhkan Selangor maka mereka rela wakil rakyat mereka berpindah. Jadi (calon) PKR lain akan buat kerja lebih baik di Ampang,” katanya yang turut menjangkakan calon bagi kawasan itu adalah wanita.

Pada PRU13, Zuraida mendapat 41,969 undi mengalahkan calon BN Rozaidah Talib (28,691) dengan majoriti 13,278.

Lihat Komen
ADS