Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua peminat kartunis Zunar hari ini didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana menghalang tugas penjawat awam pada Disember 2016.

Toong Ah Tee, 62 yang bekerja sebagai jurutera didakwa di hadapan majistret Siti Radziah Kamarudin, manakala Wong Chee Wai,39 yang merupakan seorang pekerja bebas didakwa di hadapan Majistret Mahyuddin Mohamad Som.

Kedua-dua mereka didakwa menghalang Timbalan Penguasa Polis M Gunalan pada acara "Teh bersama Zunar" yang diadakan di tingkat satu Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor pada kira-kira pukul 2:30 petang, 17 Disember 2016.

Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.

Kedua-duanya yang diwakili oleh peguam Nicole Tan meminta untuk dibicarakan.

Majistret Siti Radziah mengenakan ikat jamin terhadap Toong sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala Mahyuddin meminta Wong membayar ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 8 dan 7 Februari untuk sebutan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Farah Adila Nordin dan K Vasugi mewakili pendakwaan.

Zunar, atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque juga hadir untuk memberi sokongan kepada mereka. 

Semalam, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes saman Zunar terhadap ketua polis negara dan 19 yang lain pada 19 April depan.

Zunar memfailkan saman tersebut kerana mendakwa ditahan secara salah dan buku karyanya dirampas pada satu majlis yang diadakan di KLSCAH.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas proses mediasi yang dicadangkan kepada Zunar selaku plaintif dan defendan sebelum ini gagal.

Lihat Komen
ADS