Penduduk berhampiran pantai di Kuala Paka, Dungun bimbang rumah mereka akan dilanda ombak besar sekiranya berlaku fenomena ombak besar dan air pasang.

Sapaiey Sulaiman, 64, penduduk asal Kampung Kuala Paka berkata ombak kuat yang melanda kawasan tersebut juga menyebabkan air laut mencecah sejauh 100 meter dari pantai dan adakalanya lebih jauh lagi sekiranya berlaku fenomena itu.

“Ia bertambah teruk apabila musim tengkujuh ini sehingga saya rasa tidak selamat di sini. Semalam, berlaku fenomena air pasang besar mencecah hingga ke tangga rumah, tetapi nasib baik ada penghalang di hadapan rumah bagi mengelak hakisan berlaku,” katanya kepada Bernama semalam.

Katanya kebanyakan rumah yang roboh adalah rumah yang terletak betul-betul berhadapan pantai.

“Benteng batu yang dibina di hadapan rumah penduduk juga sudah roboh disebabkan faktor air pasang dan ombak kuat, kita harap benteng itu dapat dibaik pulih secepat mungkin,” katanya.

Seorang lagi penduduk Mohamad Kamarul Azhar Kasim, 27, yang tinggal di rumah neneknya gusar dengan fenomena itu dan kadangkala tidak dapat tidur lena kerana terkejut dengan dentuman ombak yang kuat.

- Bernama