Wanita HARAPAN bukan nak berleter...
Selepas melakukan pelbagai pengorbanan, amat tidak wajar lelaki dalam barisan kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) mengetepikan golongan wanita dalam gabungan itu, kata seorang anggota parlimen.
Menurut Dr Siti Mariah Mahmud pengorbanan wanita dalam HARAPAN yang mengharapkan perubahan dalam politik negara bukan sesuatu yang boleh disia-siakan.
Beliau yang juga ketua wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata anggota sayap wanita HARAPAN terpaksa mengorbankan banyak perkara termasuk urusan rumahtangga mereka dalam usaha mencapai matlamat parti.
"Saya nak ingatkan pemimpin lelaki - tolonglah jangan sia-siakan usaha wanita HARAPAN yang banyak berkorban dan berpolitik tanpa imbuhan elaun dan gaji. Jangan sia-siakan wanita ini," katanya yang sempat sebak semasa menyampaikan ucapannya sempena Konvesyen Wanita HARAPAN di Kajang, Selangor hari ini.
Turut hadir Ketua Wanita HARAPAN Zuraida Kamaruddin dan wakil DAP yang yang juga exco Pulau Pinang, Chong Eng.
Kata Dr Siti Mariah biasanya jika golongan wanita mengulang-ulangi sesuatu perkara, ia tidak disenangi lelaki dan dianggap sebagai satu leteran.
Sekali, dua kali tak jalan
Masalahnya kata beliau pengulangan itu kadang-kadang perlu dilakukan apabila isu yang ditimbulkan sekali dua tidak diendahkan.
“Wanita kalau dia sebut (sesuatu perkara) berkali-kali orang lelaki kata berleter, tetapi apabila kita bercakap lembut sekali, tak jalan; dua kali, tak ada apa-apa, ketiga (kena) demonstrasi pula,” katanya.
Dr Siti Mariah adalah anggota parlimen Kota Raja dan pernah menjadi antara tokoh yang dilihat mempunyai potensi dalam PAS suatu ketika dulu.
Malah beliau pernah mendapat pujian bekas mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun muktamar parti itu pada 2015 menyaksikan Dr Siti Mariah diketepikan bersama hampir semua tokoh yang dilihat bersikap lebih sederhana tetapi tidak sehaluan dengan kumpulan konservatif dalam PAS.
Mereka kemudian menubuhkan AMANAH dan kini menjadi sebahagian daripada komponen HARAPAN.
Kata Dr Siti Mariah perjuangan untuk menguasai Putrajaya daripada BN tidak sepatutnya mengabaikan wanita dalam HARAPAN.
Sementara itu beliau berkata pada masa sama pemimpin HARAPAN perlu memberi fokus kepada agenda yang diperjuangkan wanita dalam gabungan berkenaan.
Sama saja macam BN
Perlu dielakkan, katanya, ialah agenda peribadi yang diselindungkan di sebalik perjuangan menawan Putrajaya.
Jika tidak, katanya, kejayaan menguasai Putrajaya dan membela rakyat akan luput oleh usaha mendapatkan keuntungan peribadi.
“Saya minta dan merayu dengan setulus ikhlas dari hati, jangan ada agenda lain, sebab kalau kita tak sampai Putrajaya, manifesto entah ke mana, agenda entah ke mana," katanya.
Dr Siti Mariah turut mengingatkan kepimpinan HARAPAN agar terus berpegang kepada prinsip perjuangan mereka.
“Kita bercakap tentang reformasi tapi kita enggan mentranformasi diri kita.
"Kita bercakap tentang integriti tapi kita (ada) syak dalam integriti kita.
“Kita bercakap soal ketelusan tetapi kita membuat keputusan tidak telus dan kita bercakap tentang akauntabiliti tapi kita tak boleh terima akauntibiliti kepada orang-orang kita.
“Kalau ini kita tak dapat dirikan dalam parti-parti kita, pemimpin yang kita hantar ke sana (Putrajaya) sama saja dengan BN,” katanya.
Justeru, katanya, kepimpinan HARAPAN mesti mengundur diri jika mereka tidak mampu berbuat demikian.
“Kalau kita tak bersedia, undurlah diri," katanya.

