Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Idris: Universiti M'sia dikagumi banyak negara lain

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh hari ini menegaskan sesiapa pun sama ada pihak di dalam atau luar negara tidak boleh menafikan bahawa taraf pendidikan tinggi di negara ini telah meningkat dan bertambah baik.

Beliau berkata melalui usaha yang dilakukan, kualiti dan sistem pendidikan tinggi negara mula diiktiraf oleh beberapa negara maju yang pada satu ketika dahulu pernah mendahului Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi.

“Prestasi pendidikan universiti negara terbukti baik dan dikagumi banyak negara termasuk Australia apabila lima buah universiti penyelidik mendapat tempat daripada lapan universiti terbaik di Asia pada tahun lepas,” katanya kepada media selepas menandatangani plak Rumah Komuniti yang ke-174 di Kampung Tok Has, Jertih hari ini.

Nama Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini mula menjadi buah mulut rakyat di luar negara melalui prestasi pendidikan yang berjaya mereka laksanakan sejak dua tahun kebelakangan ini.

Sehubungan itu, Idris yang juga Anggota Parlimen Besut meminta rakyat Malaysia supaya turut memberi sokongan kepada universiti di negara ini dengan memberi keutamaan dalam menghantar anak-anak mereka belajar dalam pelbagai bidang yang disediakan.

Katanya, rakyat hendaklah sedar dan memberikan sokongan dengan menghindarkan diri daripada dibelenggu berita-berita palsu ​​​​atau penafian yang diterbitkan dalam media-media sosial tentang prestasi pusat-pusat pengajian tinggi yang sedang beroperasi di dalam negara.

Berita-berita yang tular dengan mengatakan Malaysia telah ‘membayar’ untuk mendapatkan kedudukan (ranking) adalah tidak benar kerana penilaian bagi sesebuah universiti itu telah dilakukan oleh badan-badan profesional secara saintifik dan bukan direka-reka atau diambil daripada punca yang tidak sahih.

“Kalau betul untuk mendapatkan ranking, sesebuah universiti terpaksa ‘membayar’ bermakna universiti Oxford atau Universiti of Cambridge termasuk University of Singapore dan Universiti Hong Kong juga melakukannya?” soal Idris.

Idris seterusnya meminta rakyat supaya dapat mengikuti berita-berita baik dan mengelakkan diri daripada tertipu dengan berita-berita pembohongan yang semakin banyak dalam media sosial yang bertujuan menjatuhkan kerajaan.

Pada majlis itu, Idris yang diiringi isteri Toh Puan Che Kamariah Zakaria telah menandatangani plak penganugerahan Rumah Komuniti ke-147 kepada ibu tunggal Wan Rusliza Wan Sulaiman, 46, yang mempunyai lima orang anak termasuk dua lelaki berumur 8 hingga 23 tahun.

Wan Rusliza yang menyara keluarga dengan menjual pisang goreng mempunyai lapan adik-beradik yang sebelum ini terpaksa menumpang tinggal di rumah pusaka ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

-Bernama

Lihat Komen
ADS