Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Felda: Jangan hukum terlalu awal, kata Hisham

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta supaya isu Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di Kuala Lumpur tidak dispekulasikan oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata mereka sepatutnya menunggu sehingga perkara itu selesai disiasat pihak berkuasa.

"Biarlah siasatan berjalan macam biasa.

“Kita tidak mahu ada pihak dihukum awal sama ada menerusi media atau media sosial,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan van sekolah dan replika cek subsidi tambang bas pelajar Ladang Landak, Paloh di Kluang, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas dan Anggota Parlimen Sembrong berkata beliau melihat masyarakat Felda memahami agenda pembangunan yang dilakukan kerajaan untuk terus memastikan nasib mereka terbela.

Menurutnya di Johor, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga amat komited membantu masyarakat Felda termasuk enam kawasan Felda di bawah Parlimen Sembrong.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya. -Bernama

Lihat Komen
ADS