Terjemahan Pengedaran buku kecil tulisan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin di Dewan Rakyat semalam, tidak dibuat mengikut peraturan mesyuarat, kata Timbalan Speaker Datuk Lim Si Cheng.

Pengedaran buku setebal 12 muka surat itu, bertajuk 'Anjakan Bangsa', telah menimbulkan rasa tidak puashati Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur).

Kit Siang turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kandungan buku itu dan mempertikaikan kenapa buku itu diletakkan di atas mejanya.

"Kita telah menyiasat dan mendapati salah seorang bentara telah mengedarkan buku itu dan ini tidak mengikut peraturan," kata timbalan speaker itu lagi.

Pada masa depan, katanya, pengedaran semua bahan, mesti dibuat mengikut prosidur.

Selain menyentuh tentang sumbangan para pemimpin lalu kepada kemajuan negara, buku itu juga mengandungi beberapa kenyataan mengenai pembangkang.

Buku itu turut mendakwa yang PAS pernah menentang keputusan kerajaan untuk menerima orang bukan Melayu sebagai rakyat negara ini.

Ia juga menyebut bahawa sentimen perkauman dan keagamaan yang dimainkan oleh PAS mengancam perpaduan orang Melayu.

'Tidak salah'

Mengenai DAP pula, Zainuddin menulis bagaimana konsep Malaysian Malaysia 'yang bertujuan untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu ' diwarisi oleh DAP yang merupakan serpihan Parti Bertindak Rakyat (PAP).

Perkara itu, dakwanya, merupakan sebahagian daripada manifesto DAP dalam pilihanraya umum 1969 dan telah mencetuskan kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan kerana 'bertolak ansur dengan orang bukan Melayu'.

Ahli Parlimen Barisan Nasional dari Santubong, Wan Junaidi Jaafar, ketika ditemui, mengesahkan telah menerima buku kecil tersebut.

Menurutnya, dia menerima buku tersebut di kawasan lobi dan bukannya di dalam Dewan Rakyat.

"Tidak salah untuk mengedarkan atau menulis buku mengenai perjuangan orang Melayu. Ianya bukan satu masalah," tambahnya.

Bagaimanapun, kata beliau, pengedarannya hendaklah dilakukan mengikut peraturan, dengan membuat permohonan kepada setiausaha Parlimen.

Tuduhan serius

Mengenai kandungannya, Wan Junaidi berkataa beliau yakin fakta-fakta dalam buku kecil itu adalah benar, tetapi 'penyampaiannya tidak tepat'.

Sementara itu, Kit Siang berkata, beliau membantah kandungan buku tersebut yang mengandungi 'tuduhan-tuduhan yang serius'.

Menurutnya, memandangkan buku tersebut diterbitkan oleh pihak kementerian, maka ia merupakan satu pembaziran wang kerajaan.

"Dia (Zainuddin) tidak sepatunya menggunakan sumber kerajaan untuk mempromosi parti atau individu. Dia berhak kepada pandanganya. Tetapi dia sepatutnya menerbitnya melalui penerbit lain," katanya.

Zainuddin tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya./ Berita asal