Di tampuk HARAPAN, cabaran menanti Dr M
Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai calon perdana menteri bagi Pakatan Harapan (HARAPAN), kini boleh meletakkan episod melelahkan di belakangnya dan mula mempersiapkan pembangkang bagi pilihan raya umum (PRU) akan datang yang mungkin diadakan tidak sampai seratus hari lagi.
Gabungan empat parti itu telah menghabiskan masa lebih sebulan bagi menanggapi perbezaan sama ada Mahathir patut dinamakan sebagai calon perdana menteri, idea yang pertama kali muncul ketika permukiman dua hari mereka di Putrajaya pada 1 dan 2 Disember lalu.
Sejak itu, pelbagai kenyataan bertentangan muncul, dengan pandangan tegas daripada masyarakat sivil dan NGO serta kempen beberapa pihak yang menentang cadangan itu.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP sedia menerima Mahathir dengan anggapan tokoh itu sebagai peluang terbaik untuk menggembleng sokongan orang Melayu - perkara paling penting untuk menewaskan BN.
Namun bagi PKR, sebuah parti yang lahir untuk menjatuhkan Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri, ia adalah sesuatu yang sukar untuk diterima.
Perdebatan hangat menyebabkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, melalui kenyataan daripada penjara, menggesa pemimpin HARAPAN untuk kembali kepada muafakat dan rundingan dan tidak terlalu terbawa-bawa ketika mengeluarkan kenyataan.
Malah bekas timbalan presiden PKR yang dihormati Syed Husin Ali (gambar) mengeluarkan kenyataan menggesa HARAPAN tidak terlalu tergesa-gesa dalam soal itu.

Lobi terbuka berterusan hinggalah ke saat akhir. Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin bersuara menentang cadangan itu ketika Konvensyen Wanita Harapan Sabtu lalu, dan mencadangkan Mahathir dijadikan "menteri kanan".
Namun, selepas mesyuarat lebih lima jam antara pemimpin HARAPAN yang bermula tengah hari Sabtu, mereka akhirnya memutuskan untuk meneruskan perancangan menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri.
'Hidup Tun' vs 'Reformasi'
Dan ia pun diumumkan semalam. Sementara kebanyakan perwakilan gembira dengannya, tetap ada cakap-cakap tentang sama ada HARAPAN membuat keputusan yang betul.
Sejak awal konvensyen, seakan ada pertandingan laungan "Hidup Tun" dan "Reformasi" antara penyokong PKR dan BERSATU.
Menerusi 'amanatnya' pula, Anwar tidak menyentuh secara khusus tentang pencalonan Mahathir, tetapi membayangkan perkara itu tidak akan menjejaskan matlamat reformasi pembangkang.
Perasaan berat hati dan ragu-ragu kekal ada. Mahathir dirasakan perlu terus menenangkan kelompok dalam PKR yang masih lagi memandang serong terhadapnya, apatah lagi selaku calon perdana menteri.
Maka dalam ucapannya, Mahathir sehingga mengisytiharkan beliau "terhutang budi dengan Anwar" kerana menerimanya dalam pembangkang.

Namun bukan itu sahaja tugas yang menanti tokoh berusia 92 tahun itu.
Walaupun konvensyen semalam menunjukkan kesepaduan pembangkang, ada perasaan tidak puas hati lain yang sedang menggelegak.
Pemimpin AMANAH Johor memboikot sidang semalam.
Selain soal pencalonan Mahathir, mesyuarat Sabtu lalu turut memuktamadkan pembahagian kerusi Parlimen bagi Semenanjung Malaysia.
BERSATU muncul sebagai pemenang terbesar dengan mendapat kerusi terbanyak iaitu 52, sementara PKR mendapat 52, DAP (35) dan AMANAH (27).
Di Johor, negeri yang menjadi asas kepada penubuhan AMANAH, parti serpihan PAS itu hanya diberikan dua kerusi Parlimen - Parit Sulong dan Pulai.
Sumber AMANAH memberitahu Malaysiakini yang sebaik sahaja mesyuarat di ibu pejabat BERSATU itu tamat, pimpinan pusat AMANAH bermesyuarat bersama-sama pemimpin AMANAH Johor di ibu pejabat mereka.
Kemarahan akar umbi
Di sana, Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub yang juga dari Johor dan akan bertanding di Pulai, bersusah-payah menenangkan Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan.
Mesyuarat berlanjutan hingga lewat malam. Salahuddin tiba lewat di konvensyen semalam, dan tampak keletihan.
Usai konvensyen, Mahathir berkata AMANAH-lah yang menjayakan soal agihan kerusi.
Salahuddin berkata beliau berharap parti itu akan diberikan lebih kerusi Dewan Undangan Negeri sebagai ganti.
Gagal meredam kemarahan pimpinan Johor mungkin menyebabkan beliau berhadapan pemberontakan di negeri sendiri.
Di kawasan lain pula, satu lagi sumber AMANAH memberitahu Malaysiakini yang Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan Dr Hatta Ramli bakal meletakkan jawatan, selepas mereka tidak diberi satu kerusi pun di Kuala Lumpur.

Ketika dihubungi, Hatta menafikan perkara itu tetapi tidak mengulas lanjut.
Pemimpin AMANAH yang hadir di konvensyen semalam menyatakan harapan yang rasa tidak puas hati itu akan padam tidak lama lagi dan, paling utama, tidak mencetuskan sabotaj ketika PRU nanti.
"Lantang itu biasa...ia tidak akan membawa kepada sabotaj (ketika PRU). Kita matang dan berjiwa besar," kata Hatta.
Bergerak ke hadapan, HARAPAN akan memuktamadkan rundingan kerusinya. Isu berkenaan AMANAH ini boleh menjadi punca ketegangan.
Sumber DAP dan PKR bagaimanapun memberitahu Malaysia yang di sebalik hubungan kerjasama yang lebih lama dengan pemimpin AMANAH, mereka lebih memilih BERSATU yang mempunyai pengaruh lebih kuat.
Menurut mereka, secara strategi, kedudukan BERSATU lebih kuat berbanding AMANAH.
"AMANAH tiada kuasa untuk tawar menawar...Bagus apabila perkara ini sudah diputuskan, pemimpin AMANAH mempunyai masa untuk menenangkan akar umbi mereka," kata seorang pemimpin kanan PKR.
Laporan tambahan oleh Lu Wei Hoong

