Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Skandal tanah Felda: Audit forensik bermula hari ini
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 10:00 AM
Dikemaskini: 2:03 AM

Audit forensik terhadap projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang dibangunkan di atas tanah Felda yang dipindah milik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, bermula hari ini, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad.

Beliau berkata, ia dijalankan firma luar yang dilantik Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Siasatan polis berjalan seperti mana yang sudah dijalankan. Audit juga akan bermula semenjak diumumkan pelantikannya pada hari Khamis. Jadi ada dua siasatan.

"Satu siasatan dari segi jenayah, satu siasatan dari segi urustadbir," katanya seperti dipetik Sinar Harian, semalam.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan firma audit luar yang menurutnya akan menjalankan audit terhadap semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan projek KLVC.

Najib dilaporkan berkata, ia akan menilai semula proses pengawalan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran Felda, serta turut membabitkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ia dijangka siap dalam tempoh 30 hari dan laporan penuh akan dikemukakan kepada JPM.

Shahrir berkata lagi, siasatan seumpama itu bukan perkara baru memandangkan Felda pernah melakukan audit pada 2014 susulan penggantungan Pengarah Besar Felda ketika itu, Datuk Faizoull Ahmad.

Beliau juga tidak menolak tindakan disiplin dalaman mahupun undang-undang jika siasatan dan audit mendapati sebarang salah laku.

"Kita nak tanah itu balik. Kita berpendapat tak perlu dipindah milik tanah milik Felda kepada syarikat pemaju untuk tujuan pembangunan tanah itu.

"Jadi kita tak akan berkompromi kalau adanya salah laku seperti yang kita dakwa adanya 'fraud' (penipuan). Kita mahu tindakan diambil kepada mereka yang terlibat dengan salah laku," katanya seperti dipetik.

Lihat Komen
ADS