PSM: Serangan ke atas rumah ibadat di Kelantan 'aneh'
PSM hari ini membidas perbuatan sabotaj ke atas dua buah rumah ibadat bukan Islam di Kota Bharu, Kelantan, yang dibaling objek sehingga bahagian bangunan kedua-duanya mengalami kerosakan.
“Parti Sosialis Malaysia (PSM) Kelantan mengambil tanggungjawab sosial untuk mengutuk perancangan ini, sepakat supaya tidak membenarkan ia menjadi trend dan mengajak semua fokus kepada isu-isu polisi ekonomi apakah yang terbaik untuk kita semua,” kata ketua PSM Kelantan Khairul Nizam Abd Ghani dalam satu kenyataan hari ini.
Objek yang menyerupai komponen penapis air dibaling ke Gereja Methodist dan kuil Hindu, Kuil Arulmigu Siva Subramaniyar yang terletak di Jalan Hamzah, pusat bandar Kota Bharu,
semalam, mengakibatkan tingkapnya pecah dan retak.
Khairul berkata adalah “aneh” bagi rumah ibadat diserang di Kelantan.
“Kelantan adalah sebuah negeri yang matang jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
“Pada ketika negeri-negeri lain melalui insiden rusuhan kaum, ia tidak merebak di Kelantan,” katanya sambil menambah bahawa polemik di negeri itu lazimnya berhubung polisi-polisi ekonomi, perbahasan rasuah, perbahasan mazhab dan seumpamanya.
“Terlalu aneh jika memasuki perlawanan rumah-rumah ibadat antara agama,” katanya khususnya menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Dengan segeranya pihak-pihak terkait dengan pertandingan pilihan raya muncul di tempat kejadian dan menampilkan diri,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan mengesahkan perbuatan khianat itu menyebabkan empat bahagian cermin tingkap di tingkat dua dan tiga gereja pecah, manakala tingkap kuil retak.
Katanya, polis menemui dua komponen tapisan dalam alat penapis air yang mempunyai kesan dibakar yang disyaki dibaling suspek ke dua bangunan itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat.

