Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Abduh sindir AMANAH malang
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 11:42 AM
Dikemaskini: 8:56 AM

Sikap Parti Amanah Negara (AMANAH) sebelum ini yang pernah menyatakan niat bertanding di kerusi yang ditandingi PAS akhirnya memakan diri sendiri, apabila parti itu mendapat kerusi paling sedikit dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Barangkali itulah mesej anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz kepada parti serpihan PAS itu.

Walaupun tidak merujuk sebarang nama, kenyataan ringkas yang dimuatnaiknya menerusi Facebook hari ini agak jelas merujuk kepada AMANAH, susulan Konvensyen HARAPAN semalam.

"Mereka marah, sedih dan bungkam kerana diisytiharkan dengan jumlah kerusi paling sedikit, sesudah mereka ketawa memperlekeh PAS mengisytiharkan diri bertanding di mana saja kerusi yang dimahunya.

"Sedih sang malang, ketawa sang maling," kata anggota parlimen Pasir Mas itu.

'Maling' adalah perkataan bahasa Indonesia yang bermaksud pencuri. Ketika sejumlah pemimpin PAS keluar parti untuk menubuhkan AMANAH, pimpinan PAS ketika itu mendakwa mereka 'mencuri' kerusi yang dimenangi ketika bersama parti itu.

Konvensyen HARAPAN semalam mengumumkan pembahagian kerusi yang bakal ditandingi empat parti komponennya di Semenanjung.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendapat jumlah kerusi terbesar iaitu 52, diikuti PKR (51), DAP (35) dan AMANAH (27).

Muncul juga suara tidak puas hati dengan jumlah kerusi untuk AMANAH, dengan AMANAH Johor bertindak memboikot konvensyen.

"Kami minta lima kerusi parlimen, tetapi dapat dua (kerusi) sahaja - Parit Sulong dan Pulai," kata Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan.

Pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi juga mengambil tindakan sama, juga berhubung isu pembahagian kerusi.

Dr Hatta Ramli pula didakwa mahu meletakkan jawatan selaku pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, selepas parti itu tidak diperuntukkan sebarang kerusi pun di Kuala Lumpur.

Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Lihat Komen
ADS