Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini membenarkan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Peter Anthony direman empat hari lagi.

Tahanan reman itu bagi membantu siasatan berhubung urusniaga pembelian tanah ladang kelapa sawit Risda bernilai RM155 juta di daerah Tongod, Sabah.

Pemimpin WARISAN itu, sebelum ini direman tiga hari sejak Sabtu lalu, selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.

Majistret Stephanie Sherron Abie membenarkan sambungan reman Peter bermula esok dan berakhir pada Jumaat, berikutan permohonan dibuat Pegawai Pendakwaan SPRM Sabah, Mohd Faliq Basiruddin.

Peter, 47, yang juga Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia, diwakili peguam Martin Tommy.

Beliau yang memakai baju lokap SPRM tiba dengan diiringi pegawai SPRM, pada kira-kira jam 8.30 pagi, sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret dan dibawa keluar pada kira-kira jam 9.50 pagi.

Jumaat lalu, Peter dan seorang lagi individu, ditahan di ibu pejabat SPRM Sabah, di Kota Kinabalu selepas disiasat kira-kira tiga jam.

Ini kali kedua Peter ditahan SPRM terbabit selepas kali pertama disiasat bersama-sama 12 individu lain.

SPRM menahan Peter pada Oktober lalu setelah mendapati beliau merupakan penerima projek daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang sebelum ini diterajui Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau menafikan tuduhan berkenaan dan mendakwa kontrak projek itu diperoleh menerusi prosedur yang betul.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memecat Shafie, yang juga naib presiden Umno dari kabinet pada tahun 2015 kerana kritikal terhadap skandal 1MDB.

Beliau kemudian keluar Umno dan membentuk parti pembangkang, WARISAN di Sabah.