Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Serangan Mahathir terhadap PAS boleh bawa rebah'

Langkah Pakatan Harapan (HARAPAN) melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri mereka mungkin mampu menarik sokongan pengundi Melayu, tetapi pada masa sama menjauhkan lagi mereka daripada golongan yang setia kepada PAS, kata penganalisis.

Walaupun sukar untuk menganggarkan jumlah penyokong PAS di semenanjung Malaysia, parti itu mempunyai pengaruh besar di kalangan pengundi Melayu, seperti yang terlihat dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dalam pertembungan tiga penjuru ketika itu, parti Melayu kedua terbesar itu mendapat 21 peratus (Sungai Besar) dan 25 peratus (Kuala Kangsar) undi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berpandangan Mahathir akan membawa sokongan sejumlah pengundi Melayu kepada HARAPAN, tetapi pada masa sama menghilangkan sokongan terhadap gabungan itu.

"Mahathir secara tidak perlu telah menjadikan PAS musuh ketat dengan menyerang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ini adalah satu kesilapan kerana jika HARAPAN mahu menjadi benar-benar kuat, mereka perlukan PAS," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Pengarah Merdek Center Ibrahim Suffian, yang berkata bekas perdana menteri itu memberikan imej negatif di kalangan golongan konservatif agama, terutama penyokong PAS.

"Ini boleh menyukarkan lagi usaha HARAPAN untuk mendapatkan sokongan satu segmen pengundi yang penting, tambahan pula mereka akan berhadapan perlawanan tiga penjuru dengan BN dan juga PAS.

"Jika Mahathir dan pasukannya menggunakan pendekatan pragmatik untuk mendekati pengundi atas pagar dan juga non-partisan yang cenderung terhadap HARAPAN, beliau mungkin mampu memberikan kejutan," katanya.

Semalam, HARAPAN secara rasmi mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka, dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

Mahathir yang sememangnya bermusuh dengan PAS sejak ketika menjadi perdana menteri lagi, berulangkali menuduh PAS mahu berbaik-baik dengan Umno.

Pengerusi HARAPAN dan BERSATU itu juga menuduh PAS cuba memecahkan undi pembangkang kerana enggan menyertai HARAPAN bagi menghadapi PRU akan datang.

Baru-baru ini, Mahathir menyifatkan Hadi sebagai pengkhianat dan kafir kerana menurutnya bekerjasama dengan Umno - parti yang diisytiharkan sebagai kafir dalam amanat Haji Hadi.

Dr M berbanding Anwar

Namun dengan Mahathir di tampuk pimpinan, ia membantu HARAPAN menangkis imej yang mereka didominasi DAP dan Cina.

"Kelebihan sebenar adalah Mahathir dapat membantu (HARAPAN mendapat) undi Melayu.

"Barangkali boleh dikatakan yang daya tarik Mahathir lebih kuat berbanding Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Ibrahim pula berkata, Mahathir mempunyai imej yang baik di kalangan penjawat awam dan ramai pengundi luar bandar.

"Personalitinya yang tegas akan memberikan cabaran kepada BN, kerana sebarang serangan terhadap beliau sentiasa boleh dilihat sebagai melampau dan mencetuskan simpati," katanya.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata, walaupun Mahathir memiliki bebannya sendiri, beliau juga membawa pengalaman dalam tadbir urus yang boleh dimanfaatkan HARAPAN.

"Pengalamannya akan menjadi aset. Mahathir mungkin tidak memberikan impak seperti Anwar pada 2008 tetapi beliau mempunyai tekad yang kuat untuk mendapatkan apa yang dimahukannya," katanya.

Wan Saiful dan Ibrahim menjangka pencalonan Mahathir akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam HARAPAN, namun yakin ia tidak akan kekal lama.

"Secara keseluruhan, (pengumuman) akan lebih menyatukan mereka," kata Wan Saiful.

Ibrahim pula berkata jika pemimpin parti komponen boleh menerima Mahathir, kemungkinan besar ia akan disusuli anggota dan penyokong parti.

Lihat Komen
ADS