Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man bertegas tidak akan membenarkan penanaman ketum sebagai usaha untuk membanteras gejala sosial yang berpunca daripada penyalahgunaan tumbuhan itu.

Katanya beliau akan berusaha supaya ketum yang kini di bawah Akta Racun 1952 diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk menguruskan kes-kes membabitkan penyalahgunaan ketum selain peningkatan kes jenayah akibat penyalahgunaannya,” kata kepada pemberita selepas menyerahkan surat kelulusan hak milik tanah kepada 166 penerima di Beseri, dekat Padang Besar, hari ini.

Katanya dalam masa 10 sehingga 30 tahun lagi generasi muda mungkin menjadi ‘zombie’ akibat penyalahgunaan tumbuhan itu secara berleluasa.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mencadangkan supaya pekebun kecil di negara ini diberi kebenaran menanam daun ketum yang dikatakan mempunyai nilai perubatan untuk dieksport.

Berhubung permohonan hak milik tanah, Azlan berkata kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan permohonan bagi hak milik tanah yang sudah melebihi lima tahun.

Beliau berkata sehingga tahun lepas kerajaan negeri telah mengeluarkan hak milik tanah kepada lebih 1,000 permohonan yang melebihi 10 tahun.

Dalam pada itu, beliau mahu agensi-agensi kerajaan terus bekerjasama melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengambil kira Bajet 2018 kerajaan Perlis yang dibentangkan Disember lepas.

“Sebagai contoh, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tiada peruntukan tetapi Jabatan Kerja Raya (JKR) boleh membantu melaksanakan projek untuk rakyat menggunakan peruntukan JKR.

“Pendekatan fleksibel tidak merugikan mana-mana pihak sebaliknya masalah-masalah kompleks mungkin dapat diatasi dengan berkesan,” katanya.


-Bernama

Lihat Komen
ADS