Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'BERSATU bantu kalahkan Umno, hapus perkauman'
Diterbitkan:  Jan 8, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa mengakui kehadiran BERSATU dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) menyentak partinya AMANAH, DAP dan PKR ke dalam suatu realiti baru termasuklah menyesuaikan agenda reformasi dengan psikik Melayu ala Umno dalam parti itu.

Susulan pembahagian kerusi HARAPAN, Mujahid sedar kehadiran golongan Melayu berminda Umno dalam BERSATU.

Usaha PKR, AMANAH dan DAP yang mahu membawa Melayu yang lebih progresif, inklusif 'terencat' dengan pembahagian kerusi yang akhirnya dibahagi mengikut rentak formula BERSATU vs Umno(majoriti) PKR, DAP, AMANAH vs semua komponen BN," kata Mujahid dalam suatu kenyataan media.

Dari sudut praktikal, Mujahid berkata ia membantu gerakan reformasi kerana BERSATU perlu menerima asas perjuangan politik Malaysia tanpa perkauman.

"Dengan kata lain, pergelutan BERSATU dengan Umno bukan sekadar mengalahkan Umno tetapi juga menggantikan psiki Melayu ala Umno, kepada Melayu yang progresif dan inklusif," kata naib presiden AMANAH itu.

"Keperluan ini harus jelas kepada BERSATU dalam membentuk masa depan politik Malaysia.

"Sekadar mendapat kerusi yang banyak atas rasional bergelut dengan Umno tidak akan membantu Malaysia Baru yang telah diperjuangkan selama ini oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan golongan reformis," kata beliau.

Mujahid berkata tidak ada gunanya menggantikan Umno tetapi mengekalkan doktrin perkauman Umno tanpa perubahan yang perlu dalam masyarakat Melayu.

"Umat Melayu sendiri yang perlu keluar dari kepompong 'mentaliti terperangkap' kepada mentaliti bersaing secara sihat dan meyakini doktrin Malaysia tanpa diskriminasi kaum," katanya.

Mujahid merujuk kepada pengumuman konvensyen HARAPAN semalam yang memperuntukkan BERSATU sebahagian besar kerusi parlimen di semenanjung Malaysia.

BERSATU akan bertanding 52 daripada 165 kerusi parlimen di Malaysia Barat, diikuti PKR dengan 51 kerusi, DAP dengan 35 kerusi dan 27 kerusi untuk AMANAH.

Manakala itu, ketua penerangan Pemuda AMANAH Pulau Pinang Mohd Faruk Abdul Rahman berkata parti itu tidak kisah bertanding kerusi yang sedikit berbanding rakan-rakan parti dalam HARAPAN kerana mahu melihat penyatuan di kalangan gabungan parti-parti pembangkang itu.

Farouk berkata mengalahkan Umno lebih penting pada saat ini dan anggota parti tidak perlu bertelagah atas hal kerusi.

"Adakalanya kita perlu berkorban demi menyelamatkan sesebuah perjuangan dan kejayaan di capai bukan sedikit atau banyak kerusi yang ditandingi namun kelangsungan dalam muafakah, rundingan akan mencetus keuntungan bersama. " kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, AMANAH baru sahaja bermula dalam jalan panjang perjuangan bagi membina masa hadapan negara.

"Perjuangan kita masih panjang, perjuangan AMANAH baru saja bermula mungkin kita tak melihat di usia ini Amanah memimpin negara.

"Namun kesungguhan serta iltizam dan benih yang disemai sekarang ini adalah harapan yang amat bernilai di masa akan datang," kata Faruk lagi.

Lihat Komen
ADS