Paling Popular
Terkini

Parti Amanah Negara (AMANAH) menasihati PAS supaya tidak sibuk mengulas pembahagian kerusi sesama anggota Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebaliknya kata Naib Presiden AMANAH Datuk Husam Musa, lebih baik untuk PAS memikirkan berapakah jumlah kerusi yang akan mereka perolehi daripada Umno atau BN.

Secara sinis, Husam yang juga pengerusi HARAPAN Kelantan menjelaskan PAS kini bolehlah berunding dengan Umno untuk menentukan berapakah jumlah kerusi yang bakal mereka kuasai pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Kami dah selesai, ini rumahtangga kami. Ada pun rumahtangga PAS, itu serah pada PAS-lah, kalau mereka boleh (dapat) kerusi lebih daripada BN, saya ucap tahniah," katanya.

Husam berkata demikian ketika diminta mengulas anggapan Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengatakan pengagihan kerusi HARAPAN akhirnya hanya akan menguntungkan DAP pada PRU ke-14 nanti.

Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor berkata, tanggapan itu hanya dari perspektif Mohd Amar.

"Pada kami, dengan perpaduan dalam HARAPAN, masalah-masalah dihadapi dan kemarahan rakyat terhadap BN, semua kerusi adalah berpontensi menang.

"Ini merangkumi 27 kerusi diperuntukkan kepada AMANAH termasuk Pengkalan Chepa," katanya.

Kita dah bercerai

Untuk rekod Pengkalan Chepa adalah salah satu kubu kuat PAS. Mohd Amar sendiri menjadi yang dipertua PAS kawasan berkenaan.

AMANAH ditubuhkan pemimpin PAS yang diketepikan perwakilan parti itu dalam muktamar mereka pada 2015.

Perubahan itu juga menyaksikan pengkritik mendakwa PAS semakin mesra dengan Umno walaupun parti terbabit menegaskan mereka kekal sebagai pembangkang.

Husam berkata, AMANAH Kelantan yakin kerusi yang diserahkan kepada mereka untuk ditandingi memang berpotensi untuk dimenangi.

"Kalau tak berpontensi menang, saya pun tak mahu," katanya.

Terdahulu Husam hadir melawat Gereja Methodist di Jalan Hamzah, Kota Bharu, yang diserang individu tidak bertanggungjawab lewat malam kelmarin.

Sementara itu, Husam menegaskan jika PAS memang akhirnya menyediakan padang pertandingan tiga penjuru pada PRU ke-14 nanti, ia boleh dianggap sebagai aksi bunuh diri.

"Kalau PAS berani dengan bertanding sendirian (menyebabkan berlaku) tiga penjuru, ia hanya menempa kekalahan... sebagai suicide bomber," katanya.

Namun bekas exco kanan Kelantan di bawah pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu segera menjelaskan, beliau tidak bercadang mengulas lanjut mengenainya.

"Itu urusan PAS, tak elok bagi sebuah parti lain (AMANAH) - hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong - nak mengulas masalah parti lain. Kita dah bercerai," jelasnya.

Lihat Komen
ADS