Paling Popular
Terkini

PULASAN | Kejayaan - kata orang - biasanya terbina daripada rembesan air mata, keringat dan perasaan yang dijeruk untuk beberapa lama.

Tidaklah keterlaluan untuk mengandaikan penyokong Pakatan Harapan - terutama daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) - memenuhi syarat berkenaan sebelum, semasa dan selepas muafakat mereka disahkan di Shah Alam pada Ahad lalu.

Memang ada banyak orang dan banyak sebab air mata menitis di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, ketika Datuk Saifuddin Abdullah membacakan ketetapan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR, DAP dan AMANAH.

Secara umumnya ia boleh disimpulkan dengan satu perkataan mudah: terharu. Cuma alasan rasa terharu itulah yang rencam. Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ada sebab untuk terharu. Mungkin kerana Dr Mahathir dijadikan peraturan 'hidup mati' HARAPAN untuk menguasai Putrajaya.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula ada sebab juga untuk terharu. Paling tidak, calon timbalan perdana menteri itu berasa tersentuh dengan rasa terharu Dr Siti Hasmah yang duduk di sebelahnya.

Namun di belakang mereka lebih ramai yang menitiskan air mata. Semuanya terharu, cuma faktor yang mencetuskan perasaan itulah yang berbeza-beza.

Salahuddin Ayub - misalnya - mungkin tersentuh dengan keazaman HARAPAN mendepani BN (atau dulunya Perikatan) yang tidak pernah kalah-kalah sejak merdeka.

Tapi kalau timbalan presiden AMANAH itu terharu kerana sebab lain pun tidaklah aneh sangat.

Jual nama polan, anu

Khabarnya konvensyen berkenaan menjadi galang ganti parti-parti dalam HARAPAN untuk mencari titik persamaan dalam rundingan mereka.

Antara yang paling sensitif tentulah pembahagian kerusi. Ia membabitkan maruah. Gilalah kalau ada parti politik membiarkan mereka tidak diberi pengagihan kerusi dalam sesuatu pilihan raya.

Semasa perbincangan pembahagian kerusi itu PKR, AMANAH, DAP dan BERSATU hadir dengan hujah dan tuntutan masing-masing. Antara hujah itu - kata angin yang berbisik - ialah nama-nama individu atau pertubuhan tertentu yang menjadi tempat sandar hujah setiap parti.

Ketika perbincangan berlangsung dalam premis yang tertutup memang sedap menjaja nama si polan dan si anu untuk menjadi asas tuntutan. Entah benar entah tidak.

Tapi itulah. Persetujuan dalam terpaksa itu akhirnya termeterai. Ia memerlukan jiwa yang "besar" untuk menjadi kenyataan. Cuma maksud "besar" itu adalah bersifat relatif antara satu parti dengan parti yang lain.

Anda terlalu bendul jika menyangka masalah sudah selesai dengan persefahaman berkenaan. Umpama bidalan lama, pahat boleh berbunyi apabila rumah sudah siap.

Pahat dan penukul itu - dalam bahasa anak muda millennial - kini bolehlah dianggap laksana mak cik-mak cik bawang. Nampak macam mengurang tidak melebih ada.

Memang mustahil untuk memuaskan hati semua orang. Selagi namanya makhluk kelemahan itu pasti ada. Untuk meletakkan seseorang sebagai individu dapat diterima semua pihak kira-kira macam mahu melihat Tun Dr Mahathir memuji 1MDB.

Di sinilah peranan mak cik-mak cik bawang tadi. Mereka akan berkicau atau berciap di media sosial untuk menyatakan rasa tidak puas hati.

Rungutan itu pula biasanya kelihatan diplomatik. Biasalah, sebagai seseorang yang berjawatan ahli politik wajib dilihat cerdik dan budiman. Namun di sebalik susunan ayat dizahirkan tersembunyi mesej yang menikam.

Lebih daripada itu kadang-kadang mesej berkenaan dapat ditafsir sebagai suara kepentingan pihak lain. Ia ibarat wayang kulit yang dimainkan tok dalang tertentu.

Madahnya berhelah. Selokanya berduri. Pencaknya membelit.

Kunyit yang diperlukan

Dalam keadaan beginilah HARAPAN memerlukan watak yang benar-benar dapat memberikan kawalan keadaan dengan berkesan. Watak itu diperlukan untuk menjadi penawar serta pengimbang.

Ia ibarat sekawan orang kampung yang gelisah kerana tok sidang mereka tidak dilantik menjadi perwakilan dalam mesyuarat agung tahunan parti di Kuala Lumpur.

Watak penting tersebut perlulah disegani supaya setiap kata-katanya boleh mempengaruhi sesuatu tindakan orang kampung.

Dalam keadaan keputusan sudah dipersetujui, rungutan adalah biasa. Tetapi langkah yang cuba menggagalkan pelan yang disepakati adalah sabotaj.

Watak pengawal keadaan itulah diperlukan orang ramai untuk memastikan sesuatu rancangan yang disusun berjaya dilaksanakan.

Hasutan serta rungutan mak cik bawang adalah antara onak yang perlu dielakkan.

Dulu-dulu di kawasan kampung, masalah demam atau sakit lain kadang-kadang dapat ditawar dengan beberapa potong kunyit.

Akan ada tabib membelah kunyit tersebut menjadi dua, dibaling ke lantai untuk melihat bagaimana kedudukan hirisan berkenaan. Tertangkup kedua-duanyakah, atau terbongkang kedua-duanya menghadap langitkah, atau salah satunya saja yang tertangkup.

Hirisan kunyit itu kemudian diletakkan di kawasan badan yang sakit atau demam itu. Dengan izin Tuhan, biasanya sakit-sakit lazim akan sembuh kemudian.

Ia adalah rawatan bukan klinikal. Tidak dapat dipastikan sama ada penyembuhan itu ada kaitan dengan kandungan bahan dalam kunyit atau kesan psikologi pesakit saja. Namun kadang-kadang pesakit akan betah tidak lama kemudian.

Dah tak lama dah

Dalam konteks HARAPAN, mak cik-mak cik bawang itu rasanya ada dan berpengaruh juga. Banyak atau tidak, ia mungkin hanya difahami di kalangan orang dalaman. Tapi ia memberi kesan. Sama ada mereka bersuara lantang atau sekadar bergumam dari dapur, ia membuka banyak kemungkinan.

Kalau di kampung-kampung bisikan yang tidak tentu punca sebegitu boleh mengundang masalah lebih banyak. Rasukan, misalnya. Dan ia sangat mungkin merebak dari satu badan ke badan lain.

Justeru sebelum ia berlaku, perlu dicari tabib yang boleh membawa penawar tadi.

Berikan kunyit kepada dia untuk diserapahkan. Biarkan dia buat apa yang sepatutnya dan berharap gumam mak cik bawang tadi dapat dikekang.

Kalau tidak, lebih banyaklah air mata akan mengalir selepas ini. Ia bukan terhad di konvensyen HARAPAN tahun depan saja, sebaliknya di merata-rata tempat.

Sebagai peringatan PRU ke-14 itu bukannya lama lagi hadirnya.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS