Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahok: Isteri itu seperti kitab suci
Diterbitkan:  Jan 9, 2018 2:22 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

GLOBAL | Terlihat begitu tenang dan akrab, ramai terkejut apabila akhirnya peguam mengesahkan Basuki Tjahaja Purnama - atau Ahok - memulakan proses perceraian dengan isterinya.

Kesahihan surat itu disahkan seorang kakitangan bahagian maklumat mahkamah Jakarta Utara semalam.

Katanya dokumen dikemukakan peguam Ahok itu diterima kerana ditandatangani bekas gabenor Jakarta itu serta disertakan stem.

Namun setakat ini belum ada sebarang maklumat sahih mengenai punca keruntuhan rumahtangga tokoh yang sebelum ini dilihat mempunyai masa depan cerah dalam politik Indonesia itu.

Ketika Ahok didakwa, dibicara dan disabitkan kesalahan menghina agama tahun lalu sehingga dipenjara selama dua tahun, isterinya, Veronica Tan, tetap setia di sisinya.

Namun sesuai dengan sifat semulajadi manusia, hubungan suami isteri tidak terlepas daripada dugaan. Untuk menghadapinya Ahok pernah memberikan tip berdasarkan pengalamannya sendiri.

Jika berdepan dengan pasangan yang dingin, katanya, jangan sampai diusir dari katil atau tidur berasingan.

 

 

Walaupun bertengkar dengan Veronica, 40, Ahok, 51, berkata mereka tetap berkongsi ranjang. Cuma, katanya, yang berbeza adalah keadaan di atas ranjang itu.

"Ranjangnya besar, 2 x 2 meter dan kami berbaring saling membelakangkan pasangan.

"Namun lama-lama bersentuh jua. Misalnya kerana dingin penyaman udara," katanya.

Mengenai isteri, Ahok mengungkapkan bahawa seseorang wanita boleh diumpamakan seperti "kitab suci".

Mengapa? Alasannya kata Ahok, wanita - seperti juga senaskhah kitab suci - sukar untuk difahami begitu saja.

Suami itu macam wang

Pada masa sama ia tidak boleh dihumban atau dibuat kerana bakal dihukum tuhan.

Namun untuk wanita, Ahok sempat berpesan juga.

"Hati-hati, suami itu seperti wang. Kalau dibuang keluar, pasti akan diambil orang," katanya.

Mengenai isu curang dalam hubungan tokoh kelahiran Belitung itu menyamakan situasi berkenaan seperti gula-gula getah - manis pada awalnya tetapi lama-kelamaan ia sukar dibuang kerana melekat.

Surat memulakan proses perceraian Ahok dan Veronica itu bertarikh 5 Jan lalu. Dia memilik adiknya sendiri, Fifi Lety Indra, sebagai peguam bersama seorang yang lain, Josefina Agatha Syukur.

Setakat ini tiada mana-mana pihak menyatakan punca perceraian itu dan menganggapnya sebagai "sangat peribadi".

Menurut laporan media, semasa sambutan Krismas baru-baru ini Ahok meraikan perayaan itu bersama Veroica dan tiga anak mereka - Nicholas Sean Purnama, Nathania Purnama dan Daud Albeenner Purnama - di penjara.

Ahok adalah tokoh berbangsa Cina beragama Kristian. Dia menjadi ahli politik pertama bukan Islam diangkat menjadi gabenor Jakarta.

Jawatan gabenor ibu kota Indonesia itu biasanya dianggap penting kerana boleh menjadi landasan untuk seseorang melangkah lebih jauh dalam politik.

Presiden ketujuh Indonesia, Joko Widodo - atau lebih dikenali sebagai Jokowi - sebelum ini adalah gabenor Jakarta. Ahok berkhidmat di bawah Jokowi sebagai timbalannya.

Lihat Komen
ADS