NUTP: Kalau boleh jangan terus ke polis
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyeru sebarang pertikaian berkaitan dakwaan kekerasan terhadap murid oleh guru diselesaikan secara baik terlebih dahulu sebelum dibawa ke pihak berkuasa.
“Pada umumnya NUTP tak bela atau tegakkan guru-guru yang mendera, mencabul, memukul anak muridnya berkali-kali, baling kerusi pada anak muridnya. Kita tak akan bantu guru itu, mereka kena berhadapan (hukuman).
“Tapi kalau sedikit kekasaran kerana nak mendidik, saya rasa kod etika itu perlu ada.
"Kita rayu ibu bapa jangan terus pada polis, buat laporan, pergi mahkamah tanpa cuba pergi ke sekolah untuk selesaikan,” kata Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock.

Bercakap dalam sidang media berkenaan kod etika ibu bapa dan penjaga di Wisma NUTP di Kuala Lumpur hari ini, Tan bagaimanapun berkata NUTP tidak akan berkompromi dengan guru melampaui batas sehingga mendatangkan kecederaan.
Ditanya berkaitan kes terbaru melibatkan guru bahasa Inggeris di Pulau Pinang, Idzahril Ahmad, Tan bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes itu sedang melalui proses mahkamah.
Kod etika 23 perkara
Sementara itu, bagi menyelesaikan pertikaian antara ibu bapa dan guru, NUTP mencadangkan 23 perkara dalam Kod Etika Ibu Bapa dan Penjaga sebagai panduan.
Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak berkata, cadangan itu sudah dibuat sejak 2016 dan akan dibawa kepada Kementerian Pendidikan untuk dibincang bersama ibu bapa.

Beliau bagaimanapun hanya menjelaskan tiga perkara yang dicadangkan dan selebihnya akan dimaklumkan selepas dipersetujui oleh kementerian dan ibu bapa.
"Pertama, ibu bapa dan penjaga perlu merujuk pengetua, guru besar atau pentadbir institusi jika mempunyai masalah dengan guru berkaitan anak mereka.
"Ibu bapa serta penjaga tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan, dan sekolah berhak menghubungi polis jika arahan ini tidak dipatuhi.
"Penyalahgunaan atau mesej bernada ancaman sama ada menerusi e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis lain, termasuklah menerusi media sosial seperti Facebook juga dilarang," katanya.
Katanya lagi, ia membabitkan 15 perkara yang perlu dipatuhi dan lapan perkara yang perlu dihindari ibu bapa, melibatkan sekolah serta institusi pendidikan lain seperti kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG).
Nota Editor: Malaysiakini telah mengubah tajuk dan olahan asal berita ini “NUTP: Cikgu Idzahril nak mendidik, bukan dera” setelah mendapati ia kurang tepat. Pihak kami kesal dengan perkara tersebut. - Pengarang

