Paling Popular
Terkini

Di sebalik mendapat jumlah kerusi parlimen terbesar di Semenanjung Malaysia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) melihat ada "malang" diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kata Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali secara keseluruhan "pemenang" dalam pembahagian kerusi parlimen di kalangan Pakatan Harapan (HARAPAN) ialah PKR.

Hal itu kerana, katanya, kerusi yang diterima BERSATU itu sukar ditawan daripada BN.

“BERSATU dapat 52 kerusi, lebih satu dari PKR. Dari segi parti baru dia dapat 52 kerusi kira baguslah.

“Malangnya apabila saya lihat kerusi-kerusi BERSATU itu saya dapati ia kerusi gred C,” kata Ibrahim pada sidang media di Ibu Pejabat PERKASA di Kuala Lumpur, hari ini.

HARAPAN mencapai persetujuan berhubung pembahagian kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia sebelum mereka mengadakan konvensyen di Shah Alam pada Ahad lalu.

Melalui pengumuman dibacakan wakil gabungan empat parti pembangkang utama itu, BERSATU diperuntukkan 52 kerusi manakala PKR 51. DAP pula diberi 35 kerusi dan Parti Amanah Negara (AMANAH) mendapat 27.

Pembahagian kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak pula dibincangkan kemudian dengan mengambil kira parti-parti setempat.

Sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14, HARAPAN juga menamakan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai calon perdana menteri sementara sebelum mereka memulakan proses mendapatkan pengampunan diraja buat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan kes liwat - suatu tuduhan yang didakwa tokoh terbabit sebagai bermotif politik.

Beliau bakal dibebaskan pada 8 Jun namun undang-undang negara menghalang seseorang bekas banduan terbabit dalam politik selama lima tahun.

Kata Ibrahim dengan status kerusi yang diperolehi BERSATU itu PKR menjadi parti paling beruntung.

“PKR muncul sebagai pemenang kerana saya dapati kerusi yang mereka akan tandingi - mengikut perkembangan semasa - merupakan kerusi berpotensi besar untuk dimenangi," katanya.

Lihat Komen
ADS