Akar umbi perlu pencerahan isu calon PM
Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu bertemu penyokong di peringkat akar umbi - terutama belia - bagi menjelaskan isu pemilihan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri mereka.
Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin berkata penyokong di peringkat akar umbi memerlukan masa untuk menerima keputusan pemimpin atasan mereka walaupun ia dibuat demi negara.
"Pemimpin utama PKR perlu memberi pencerahan kepada akar umbi mengapa formula ini dipilih.
"Kita mungkin sudah membincangkan isu ini di peringkat parti tetapi PKR mempunyai ramai penyokong di peringkat akar umbi dan mereka perlu diberi penjelasan mengenainya," kata anggota exco Pulau Pinang itu kepada Malaysiakini.
HARAPAN pada 7 Jan lalu mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad serta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masing-masing untuk jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika mereka berjaya menyingkirkan BN dari Putrajaya.
Malaysia akan berdepan pilihan raya umum (PRU) selewat-lewatnya Ogos ini tetapi sesetengah pihak menjangkakan parlimen akan dibubarkan sebelum Jun.
Tidak seperti kebanyakan negara demokrasi lain kerajaan negara ini tidak mengumumkan pembubaran tarikh PRU lebih awal sehinggalah ke saat-saat akhir, menyebabkan pembangkang sukar membuat persediaan seperti parti pemerintah.
Bukan senang nak lupa
Di sebalik pertaruhan gandingan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah itu, sesetengah pihak berpendapat HARAPAN wajar menonjolkan muka baru untuk mengisi jawatan penting berkenaan.
Antara nama yang disebut ialah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali. Bekas pegawai kanan Kementerian Kewangan serta senator, Datuk Ezam Mohd Nor, juga berkali-kali menyebut nama Azmin sebagai orang lebih layak diangkat menjadi perdana menteri.
Untuk rekod PKR itu sendiri tertubuh kesan daripada tindakan Dr Mahathir memecat suami Dr Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Afif, 32, pemimpin HARAPAN perlu memberi kewajaran mengapa Dr Mahathir menjadi pilihan mereka untuk jawatan perdana menteri walaupun mengikut pelan ia hanyalah untuk sementara waktu saja.
"Tidak mudah untuk melupakan apa yang berlaku 20 tahun lalu. Kita perlukan masa untuk menerima keputusan berkenaan," katanya.
Menurut Afif dia adalah antara kumpulan yang menyokong supaya Dr Mahathir diterima menyertai HARAPAN kerana membawa agenda untuk mengetepikan penguasaan BN serta Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri.
Namun kata anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya itu, keadaan berbeza apabila tokoh terbabit dipilih sebagai calon perdana menteri HARAPAN.
Pada masa sama Afif mengingatkan penyokong serta anggota PKR supaya memberi perhatian untuk memenangkan semua 51 kerusi parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu setakat ini.
"HARAPAN mesti mula berkempen untuk memastikan seramai mungkin pengundi - terutama penyokong sendiri - keluar mengundi.
"Siapa pun perdana menteri kita mesti bekerja keras bagi memastikan seramai mungkin orang keluar mengudi pada PRU ke-14 nanti atau HARAPAN akan rugi," katanya.

