PAS: Pencalonan Dr M boleh gagalkan RCI Memali
Usaha menuntut keadilan bagi mangsa tragedi berdarah Memali melalui penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) akan terencat sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menjadi perdana menteri.
"Sekiranya Pakatan Harapan menjadi kerajaan dan Dr Mahathir perdana menteri, pastinya akan berlaku campur tangan bagi memastikan diri beliau bersih dari darah yang mengalir di bumi Memali.
"Jika itu sahaja pilihan yang ada, sudah pasti Dr Mahathir akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menutupi semua bukti dan sudah pastinya kejadian seperti Ops Lalang akan berulang, tetapi dengan kaedah baharu yang lebih tersusun dan bahaya.
"Sebenarnya penubuhan RCI perlu dilakukan sejak 1986, tetapi ia tidak diendahkan, maka cadangan mengadakan RCI selepas PRU-14 adalah bagi melindungi individu yang terbabit," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor seperti dilaporkan Berita Harian.
Selepas perbahasan awam sekian lama, HARAPAN semalam mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizan Wan Ismail pula menjadi timbalannya.
Sementara itu, Sanusi yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Tragedi Memali Kedah, berkata pihaknya sentiasa istiqamah bahawa RCI perlu segera dilakukan bagi membersihkan nama semua pihak terbabit, terutama mangsa dan anggota polis yang terkorban dalam tragedi itu.
Katanya, dalam insiden berdarah itu polis terpaksa berkorban atas kesilapan orang lain, manakala mangsa serta keluarga dipalit tuduhan sebagai pengganas dan sesat.
Sanusi juga berkata kertas putih parlimen yang dikeluarkan selepas kejadian itu dipertikaikan banyak pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan akan menubuhkan RCI bagi menyiasat perkara itu.
Dalam peristiwa berdarah itu, empat anggota polis dan pemimpin PAS Kedah Ibrahim Libya serta 13 pengikutnya di Kampung Memali di Baling, Kedah terkorban.
Pertempuran berlaku antara polis dan pengikut Ibrahim yang didakwa menyebarkan ajaran sesat.

